CUCI wajah dengan teliti dua kali seminggu. - Gambar hiasan
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Setiap wanita mengidamkan wajah cantik menawan, sekadar mengenakan solekan nipis ketika keluar bersantai di hujung minggu bersama keluarga mahupun rakan.

Memiliki wajah cantik, aspek penjagaan kulit wajah perlu diberi perhatian kerana bagi sesetengah wanita, wajah cantik juga mampu meningkatkan tahap keyakinan diri.

Pada masa sama, tidak perlu menghabiskan wang hanya untuk berkunjung ke sesebuah pusat rawatan kecantikan kerana ia boleh dilakukan sendiri.

Berikut beberapa langkah mudah yang boleh dilakukan di rumah untuk membantu anda mendapatkan kulit wajah diimpikan:

-Gunakan krim pelindung matahari

Krim pelindung matahari boleh didapati di pusat beli-belah atau farmasi berhampiran pada harga yang tidak terlalu mahal.

Bagi wanita berusia 20 tahun ke atas, pengambilan krim ini amat penting. Ia membantu anda mengelak daripada kesan tidak diingini sekiranya terdedah kepada cahaya matahari terik setiap hari terutama ketika keluar rumah, bersantai mahupun beriadah.

-Minum segelas air lemon setiap pagi

Air rendaman hirisan lemon dapat menyingkirkan toksin dan racun dari dalam badan. Dengan meminum segelas air masak yang direndam dengan lemon, ia amat membantu untuk membersihkan sistem dalaman dan membuatkan kulit kelihatan sihat, lembap dan bebas cela.

Kaedah ini juga mudah dilakukan dan tidak memerlukan belanja besar atau meluangkan masa yang lama.

-Cuci dan bersihkan wajah dengan teliti dua kali seminggu

Penjagaan kulit muka harian seperti mencuci, menyegar dan melembap perlu dilakukan setiap hari namun setiap dua kali seminggu, anda disaran untuk membersih muka dengan lebih teliti.

Anda boleh lakukan kaedah ini secara semula jadi iaitu mengambil sedikit serbuk penaik dan tambahkan sedikit air. Gosok pada kulit wajah secara perlahan-lahan dan biarkan seketika.

Bilas muka menggunakan air bersih dan selepas itu, ambil setitik minyak kelapa dara dan sapukan pada seluruh wajah. Anda pasti teruja dengan hasilnya yang menjadikan kulit wajah anda lembap, licin, tegang dan bersih.

-Jangan sesekali memicit jerawat

Perlu diingatkan, jangan sesekali memicit jerawat menggunakan tangan kerana bakteria mudah merebak melalui sentuhan. Perbuatan itu menyebabkan keadaan kulit wajah anda menjadi semakin teruk.

Biarkan jerawat itu tanpa dipicit dan hanya sapu dengan krim bersesuaian bagi memastikan jerawat itu dapat hilang dengan sendirinya.

-Elakkan pengambilan air sejuk terutama ais dalam diet harian

Air sejuk terutama yang mengandungi ais sememangnya sedap diminum terutama ketika cuaca panas namun hakikatnya, pengambilan air sejuk dan ais secara berlebihan bukan saja memberi kesan kurang baik pada kesihatan malah, turut menyebabkan kulit wajah menjadi kusam.

Pada masa sama, ia turut menjadikan kulit wajah cepat kering.

-Pilih produk kecantikan mengikut kesesuaian kulit wajah

Pembersih wajah antara keperluan harian wanita yang dapat membantu mendapatkan kulit yang bersih dan cantik tanpa cela.

Pemilihan produk pembersihan wajah perlu dilakukan dengan teliti mengikut kesesuaian kulit, bukan mengikut jenama mahupun harga yang mahal.

Setiap wanita mempunyai jenis kulit wajah berbeza dan pemilihan produk yang tepat mampu membantu anda mendapatkan kulit wajah bersih dan cerah sekata walaupun hanya dengan penggunaan pembersih muka yang dilakukan secara rutin.

-Elak tidur dengan solekan di wajah

Membersihkan kulit wajah setiap kali selepas bersolek sememangnya tidak boleh dipandang ringan. Anda disaran membersihkan wajah menggunakan pembersih solekan atau hanya menggunakan air biasa bagi memastikan kulit muka sentiasa terpelihara.

Walau sesibuk mana pun, perlu diingat membersihkan kulit wajah daripada solekan memang penting dan jangan sesekali tidur dengan solekan di wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 5:04 AM