Oleh Afiq Hanif

Jika anda mencari telefon yang bukan kategori premium mungkin boleh mendapatkan HTC Desire 610 yang dilengkapi rangkaian terpantas 4G LTE.

Ciri yang paling ketara termasuk dua pembesar suara stereo di hadapan selain kuasa dalaman dihasilkan daripada CPU Qualcomm Snapdragon 400, quad core berkelajuan 1.2GHz.

Ia CPU yang sama seperti Desire 816, tetapi sedikit perlahan sedikit. RAMnya pula sebesar 1GB dengan memori dalaman 8GB yang boleh ditambah kemudian dengan kad mikroSD.

Dari segi luaran, Desire 610 dilihat sebagai peranti yang dibina dengan bahan plastik polikarbonat. Seperti abangnya Desire 816, belakang Desire 610 menggunakan plastik yang licin dan berkilau. Manakala kerangka badan dan bahagian hadapan pula menggunakan kemasan matte.

Paparan pada Desire 610 menggunakan skrin sebesar 4.7 inci dengan resolusi 960 x 540 piksel kurang sedikit untuk dikelaskan sebagai paparan HD dan dipanggil suku HD atau qHD.

Tiga butang utama Android iaitu 'back', 'home' dan 'previous' diletakkan secara maya di atas skrin yang bermakna paparan mungkin 'terpotong' sedikit apabila butang mahu digunakan.

Antara yang menarik pada Desire 610 ialah pembesar suaranya diletakkan di hadapan telefon, satu di atas skrin dan satu lagi di bawah.

Ditambah lagi dengan teknologi HTC BoomSound dan amplifier yang terbina menjadikan kualiti bunyi yang dihasilkan Desire 610 sangat menakjubkan jauh meninggalkan peranti lain yang sekelas dengannya.

Selain skrin 4.7-inci dan dua pembesar suara stereo di hadapan, turut kelihatan logo kecil HTC diletakkan di bawah skrin, serta kamera depan dengan resolusi 1.3MP di atas skrin iaitu di sebelah kanan pembesar suara.

Desire 610 menggunakan Android 4.4 KitKat dengan antara­muka yang direka khas oleh HTC iaitu HTC Sense 6.0. Antara fungsi utama HTC Sense 6.0 ialah BlinkFeed yang memaparkan berita terkini pilihan pengguna serta kemas kini status daripada laman sosial yang dihubungkan seperti Facebook dan Twitter.

Penjimatan bateri pada Desire 610 boleh dipanjangkan dengan dua mod, Power Saver yang menghadkan kuasa CPU, mengurangkan kecerahan skrin, memadamkan gegaran dan menutup sambungan data apabila skrin dipadamkan.

Manakala mod kedua pula dikenali sebagai Extreme Power Saving. Sama seperti mod Power Saver tetapi ditambah dengan had aplikasi yang dioperasikan.

Ia akan mengubah antaramuka menjadi ringkas yang hanya memaparkan aplikasi asas seperti panggilan, SMS, e-mel, kalendar dan kalkulator.

Kamera utama di belakang boleh merakam gambar 8MP dan video HD penuh 1080p datang bersama aplikasi kamera HTC yang menarik.

Aplikasi kamera HTC mempunyai beberapa fungsi manual seperti pilihan senario, ISO sehingga 1600, kawalan dedahan, imbangan putih dan beberapa tapisan bagi mencantikkan lagi gambar.

INFO:

PRODUK: HTC Desire 610

PENGELUAR: HTC

PERTANYAAN: HTC

LAMAN WEB: htc.com

HARGA: RM999

PRO: Laju

KONTRA: Kamera agak lambat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:46 AM