COQUELIN (kiri) dilayangkan kad kuning kedua selepas menjatuhkan Kane.
AFP

London: Pemain tengah Arsenal Francis Coquelin meminta maaf kepada penyokong Gunners selepas kad merah yang diterimanya memberi kelebihan kepada Tottenham kelmarin.

Anak buah Arsene Wenger mendahului 1-0 apabila Coquelin dilayangkan kad kuning kedua kerana menjatuhkan Harry Kane dan tujuh minit kemudian mereka ketinggalan 1-2.

Alexis Sanchez berjaya menyamakan kedudukan tetapi kini Arsenal lapan mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Leicester City dengan baki sembilan perlawanan.

“Saya benar-benar memohon maaf kepada semua peminat, saya fikir kami boleh menang jika bermain 11 lawan 11 memandangkan kami bermain dengan baik,” kata Coquelin.

“Kad merah ini mengubah nasib perlawanan. Saya benar-benar meminta maaf kepada kelab, pasukan dan peminat.

“Saya sangka saya boleh mendapatkan bola apabila saya meluncur ketika melakukan terjahan dan sebab itu saya cuba mendapatkannya. Saya menyentuhnya dan pengadil melayangkan kad kuning kedua.

“Saya tidak melihat gol itu (kerana saya berada di bilik persalinan) tapi ada orang memberitahu saya pasukan kami menjaringkan gol kedua, ia benar-benar melegakan saya.

“Saya tidak mahu pasukan kami kalah kerana pada kedudukan 1-0 keadaan kami cukup baik. Akhirnya satu mata sudah memadai dan diharapkan ia akan menjadi mata berharga bagi menjulang gelaran.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 7:47 AM