Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara Fatehah Mustapa (gambar) mengakui kecewa dengan pencapaiannya pada Kejohanan Trek Dunia di London yang berakhir semalam.

Tampil buat kali kelima pada Kejohanan Trek Dunia, pelumba berusia 27 tahun itu gagal memberikan impak dalam acara pecut individu dan keirin.

Dia gagal melepasi pusingan awal dalam kedua-dua acara namun mengesahkan tiket ke Olimpik dalam acara pecut individu.

Penunggang dari Terengganu itu mengesahkan kedudukannya selaku pelumba kedua terbaik Asia di belakang pelumba dari Hong Kong Lee Wai Sze.

“Saya menamatkan penampilan kelima pada Kejohanan Trek Dunia dengan kekecewaan susulan keputusan dalam acara keirin dan pecut.

“Mungkin bukan hari bertuah saya namun saya akan kembali bangkit dengan lebih kuat. Tempoh enam bulan ini saya akan berusaha membaiki kelemahan dan berharap berada di landasan terbaik untuk beraksi di Rio nanti,” katanya.

Fatehah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kelemahan yang mahu diperbaikinya.

Ketua jurulatih negara John Beasley turut menjanjikan Fatehah yang baru apabila pelumba itu tampil di Olimpik Rio nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 8:06 AM