EKSPO Selangkah ke UiTM memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan masyarakat memperoleh maklumat mengenai bidang pengajian di universiti itu.
Ruhaiza Rusmin


Universiti Teknologi Mara (UiTM) meneruskan peranannya membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat maklumat untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dengan menganjurkan Ekspo Selangkah ke UiTM pada 12 dan 13 Mac ini.

Ekspo itu program tradisi tahunan UiTM yang menyediakan platform kepada pelajar untuk mencari dan menyuai padan kelulusan masing-masing dengan program pilihan.

Pengarah Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM, Muhamad Nizam Noordin berkata, menerusi ekspo berkenaan, pelajar atau mereka yang ingin melanjutkan pengajian boleh mendapatkan maklumat mengenai kursus pilihan masing-masing.

“Mereka juga berpeluang berjumpa tenaga pengajar profesional UiTM yang akan memberi khidmat nasihat mengenai maklumat diperlukan.

“Secara tidak langsung, pelajar boleh mendapat maklumat terperinci sebagai panduan, sekali gus mengurangkan peratusan salah membuat pilihan program pengajian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ekspo itu hanya sebagai panduan bagi membantu pelajar membuat pilihan, bukannya jaminan mendapat tempat untuk belajar di UiTM.

“Ekspo ini menjadi landasan yang memberi penerangan jelas dan kriteria atau syarat diperlukan sebelum pelajar membuat pemilihan program pengajian.

“Ia bukan jaminan mereka dapat melanjutkan pengajian di UiTM kerana pemilihan dan penempatan diputuskan oleh Unit Pengambilan Universiti (UPU),” katanya.

Muhamad Nizam berkata, tahun ini ekspo berkenaan menggunakan pendekatan baru apabila pelajar boleh mengakses pelbagai maklumat mengenai fakulti dan syarat memasuki program menerusi kod pengenalan (QR Code).

Beliau berkata, QR Code adalah usaha untuk memaksimumkan penyaluran maklumat kepada pelajar dan masyarakat menerusi teknologi maklumat.

“Ia lebih memudahkan kerana boleh diakses menerusi telefon bimbit. Bagaimanapun, penggunaan brosur masih diguna pakai,” katanya.

Ekspo Selangkah ke UiTM akan berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam dan serentak di kampus UiTM seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, layari www.selangkah.uitm.edu.my

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 12:11 PM