X
TEKANAN pada mata menjejaskan saraf optik.
TEKANAN pada mata menjejaskan saraf optik.
PENGLIHATAN terjejas akibat glaukoma secara perlahan-lahan.
PENGLIHATAN terjejas akibat glaukoma secara perlahan-lahan.
GLAUKOMA antara penyebab utama hilang penglihatan.
GLAUKOMA antara penyebab utama hilang penglihatan.
KESIHATAN mata penting dijaga.
KESIHATAN mata penting dijaga.
DR Ong Chin Tuan (kanan) memeriksa mata pesakit.
DR Ong Chin Tuan (kanan) memeriksa mata pesakit.
UJIAN menggunakan mesin Visual Field Testing juga mampu mengesan glaukoma.
UJIAN menggunakan mesin Visual Field Testing juga mampu mengesan glaukoma.
Faizatul Farlin Farush Khan


Glaukoma adalah keadaan di mana tekanan pada bahagian cecair dalam mata secara perlahan-lahan merosakkan saraf optik dan sekiranya tidak diberikan rawatan awal, ia boleh menyebabkan kehilangan penglihatan yang kekal.

Pada peringkat global, glaukoma adalah satu daripada tiga punca utama masalah hilang penglihatan dan buta kekal. Terdapat lebih sejuta serat saraf pada bahagian saraf optik dan ia menghubungkan retina ke otak.

Retina adalah bahagian tisu yang sensitif terhadap cahaya terletak di bahagian belakang mata. Saraf optik yang sihat penting bagi memastikan penglihatan jelas.

Tekanan dalam mata boleh menyebabkan kerosakan saraf optik, seterusnya mendedahkan seseorang kepada glaukoma.

Pada bahagian hadapan mata terdapat ruang dikenali sebagai kebuk anterior. Cecair jernih akan mengalir secara berterusan dengan keluar dan masuk kawasan itu serta menyuburkan tisu sekeliling.

Cecair itu meninggalkan kebuk anterior pada sudut terbuka di kawasan kornea bertemu iris. Apabila ia sampai di sudut terbuka itu, ia akan melalui kawasan seakan-akan span dan meninggalkan mata.

Bagaimanapun, apabila glaukoma dikenali sebagai ‘sudut terbuka utama’ berlaku, biarpun sudut itu terbuka, cecair bergerak terlalu perlahan hingga ia berkumpul.

Apabila jumlah cecair meningkat, tekanan dalam mata meningkat sehingga satu tahap mampu merosakkan saraf optik. Disebabkan itu, kawalan tekanan dalam amat penting bagi memastikan saraf optik sihat dan berfungsi dengan baik. Risiko lain yang boleh merosakkan saraf optik adalah diabetes dan juga tekanan darah tinggi.

Menurut Pakar Bedah Perunding Oftalmologi, Okuplastik dan Lakrimal Hospital Beacon, Dr Ong Chin Tuan, walaupun di Malaysia tidak ada data tepat mengenai bilangan pesakit glaukoma, ramai menghidapinya terutama bagi glaukoma jenis ‘sudut terbuka utama’.

Katanya, apabila saraf optik rosak akibat tekanan berlebihan di dalam mata, penglihatan yang terjejas tidak dapat dipulihkan semula dan ia kekal begitu sepanjang hayat.

“Ia adalah proses satu hala saja dan penglihatan yang terjejas tidak dapat dikembalikan. Glaukoma berpunca daripada masalah genetik tetapi ia juga boleh disebabkan persekitaran pesakit.

“Jika seseorang memiliki ahli keluarga terdekat seperti ibu, bapa atau adik-beradik yang menghidap glaukoma, risiko mereka adalah tinggi.

“Selain itu, risiko seseorang untuk mendapat glaukoma boleh meningkat sekiranya dia mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, mengambil ubat termasuk ubat titis mata yang mengandungi steroid dalam jangka panjang dan gaya hidup seperti pengambilan kafein berlebihan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Usia jadi risiko

Usia yang semakin meningkat bermula 40 tahun ke atas juga boleh menyebabkan glaukoma iaitu antara proses penuaan.

Dr Ong berkata, kandungan air dalam mata sentiasa berubah-ubah sepanjang hari dan tekanan dalam mata dikawal secara automatik oleh mata dengan setiap orang mempunyai tolak ansur tekanan yang berbeza.

Masalah glaukoma bermula seawal usia 40 tahun, namun yang menggerunkan adalah ia tidak menunjukkan sebarang simptom sehingga tahap akhir apabila penglihatan mula terjejas. Bagi individu yang mengalami masalah glaukoma, mereka bagaikan melihat melalui terowong yang gelap.

Menurut Dr Ong, pada peringkat awal glaukoma, tiada sebarang simptom timbul sama ada mata sakit ataupun berair, malah pesakit boleh melihat seperti biasa.

Katanya, masalah itu hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan mata secara menyeluruh dan penggunaan mesin canggih, memberi bacaan tepat serta mengikut piawaian antarabangsa seperti Goldman Tonometer, Optical Coherence Tomography (OCT) dan Visual Field Testing.

“Melalui pemeriksaan ini, kita dapat mengukur tekanan dalam mata sama ada terlalu tinggi atau rendah, melihat terus ke saraf optik untuk memastikan ia sihat atau tidak serta membuat ujian penglihatan.

“Malah kini turut ada pemeriksaan terhadap ketebalan kornea. Sekiranya tebal, risiko untuk mendapat glaukoma menurun dan jika kornea nipis, risikonya lebih tinggi.

“Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghadapi masalah glaukoma, mereka disaran membuat pemeriksaan mata sekali setiap tahun.

“Ini kerana jika dapat dikesan awal, proses glaukoma boleh ditunda ataupun dihentikan seterusnya menyelamatkan penglihatan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Ong berkata, sekiranya tompokan gelap sudah mula timbul pada penglihatan, ia tidak dapat dipulihkan, namun baki penglihatan yang tinggal masih boleh dikekalkan atau diselamatkan melalui rawatan.

Rawatan

Rawatan awal yang akan diberikan jika didapati terdapat kerosakan pada saraf optik adalah ubat titis yang mempunyai fungsi mengawal penghasilan air dalam mata serta membantu mengeluarkan air berlebihan dalam mata.

Ubat titis itu perlu digunakan sepanjang hayat dan tidak boleh tertinggal walaupun sehari dalam usaha mengawal jumlah cecair dan tekanan dalam mata.

“Sekiranya terlupa titis ubat, ada kemungkinan tekanan dalam mata akan naik dan ia akan terus memberi kesan pada saraf optik.

“Ketika ini kita ada banyak ubat titis yang berkesan dan jika semua sekali tidak berkesan untuk menghalang proses glaukoma, kita akan menggunakan cara pembedahan pula,” katanya.

Pesakit perlu menjalani pembedahan trabekulektomi atau laser trabekuloplasti yang bergantung kepada keadaan pesakit.

Trabekulektomi mengambil masa kira-kira 90 minit di mana doktor akan membuat potongan halus pada sklera iaitu bahagian luar putih mata dan membuat satu saluran takungan di bawah konjunktiva iaitu membran nipis yang menyelaputi bahagian putih pada mata.

Potongan itu akan menyerupai benjolan kecil di mata putih pada atas anak mata tetapi selalunya tidak kelihatan kerana ditutup oleh kelopak mata.

Ia kemudian berfungsi untuk mengalirkan cecair dari dalam mata keluar dan diserap oleh salur darah halus yang banyak terdapat pada sekeliling mata.

Dengan cara itu, tekanan dalam mata dapat dikawal dengan baik. Pesakit tidak perlu mengambil ubat titis mata tetapi dikehendaki bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan susulan sepanjang hayat mereka.

Bukan individu berisiko saja yang perlu menjalani pemeriksaan mata setiap tahun kerana Dr Ong menyarankan semua orang yang mencecah usia 40 tahun untuk mendapatkan pemeriksaan yang sama. Ini penting untuk mengenal pasti kesihatan saraf optik mereka memandangkan glaukoma tidak mempunyai sebarang simptom.

Katanya, proses kehilangan penglihatan akibat glaukoma berlaku secara perlahan-lahan, dalam tempoh antara dua hingga 10 tahun bergantung kepada tekanan dalam mata sama ada terlalu tinggi ataupun sederhana.

“Apabila glaukoma sudah sampai tahap terakhir, mereka masih boleh nampak tetapi hanya nampak sedikit saja pada bahagian hadapan.

“Jika ada kereta lalu di tepi atau perabot, mereka tidak nampak dan akan berlanggar. Mereka boleh baca tetapi perlu tengok secara depan saja,” katanya.

Menurut Dr Ong, pesakit glaukoma juga dinasihatkan berhenti mengambil kafein selain tidak digalakkan melakukan posisi yoga yang memfokus kepada menegakkan badan di atas kepala kerana ia mampu meningkatkan tekanan dalam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 12:39 PM