Kuala Lumpur: Polis tahan 18 individu serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.4 juta dalam tiga operasi berasingan di Kedah dan Pahang, Jumaat dan Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, mereka yang ditahan berusia 20 hingga 55 tahun termasuk wanita warga Thailand.
"Dalam tiga operasi yang dijalankan di Pulau Langkawi dan Changloon, Kedah serta Cameron Highlands, Pahang polis merampas dadah jenis syabu, ganja, heroin dan pil ecstasy dipercayai untuk dipasarkan dalam negara," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, JSJN turut menubuhkan pasukan khas bagi mengesan saki baki anggota sindiket berdasarkan soal siasat dijalankan pihaknya.
Katanya, semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.