DENISE memperkenalkan Google AdWords Express di Kuala Lumpur.
myMetro

Kuala Lumpur: Google Malaysia memperkenalkan aplikasi pemasaran dalam talian (online) terbarunya, Google AdWords Express memberi kemudahan kepada pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan lebih mudah menerusi platform online.

Google AdWords Express versi termaju selepas enjin pencarian global itu memperkenalkan Google AdWords turut mendapat sambutan dalam kalangan peniaga tempatan terdiri daripada pelbagai saiz perniagaan.

Ketua Pemasaran Bahagian Perniagaan Kecil dan Sederhana Google Malaysia, Denise Gamo berkata, Malaysia antara lokasi utama di rantau Asia Tenggara yang menerima manfaat Google AdWords Express memandangkan Malaysia mempunyai penggunaan Internet tinggi terutama dalam telefon pintar dan aktiviti perniagaan online semakin agresif.

Beliau berkata, Google AdWords Express memberi kemudahan kepada pengguna mendaftarkan aktiviti promosi perniagaan mereka dengan beberapa langkah berbanding Google AdWords yang memerlukan satu kumpulan pekerja bagi memantau serta lebih tumpuan dalam mengawal selia penggunaannya.

“Google AdWords Express memberi kemudahan kepada sesiapa saja mempunyai perniagaan terutama perniagaan bersaiz kecil dan serderhana untuk mempromosikan perniagaan mereka secara online dan tidak memerlukan modal pengiklanan tinggi.

“Malah, caj dikenakan kepada pengguna juga kompetitif dan sekiranya mereka tidak menerima sebarang klik selepas mempromosikan perniagaan itu, pengguna tidak akan dikenakan sebarang bayaran,” katanya, semalam.

Kemudahan pemasaran terbaru itu boleh diakses menerusi telefon pintar sama ada menggunakan platform Android atau iOS. Malah, ia juga boleh diakses menerusi sebarang paparan peranti teknologi lain. Caj dikenakan kepada pengguna bergantung kepada pakej jumlah klik ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:17 AM