Mohd Khairul maut selepas tercampak keluar dari keretanya. FOTO Rosli Ilham


Dungun: Pemuda maut dan rakannya pula cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 330.1 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), dekat susur keluar Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), 1.30 tengah hari tadi.

Dalam kemalangan itu, Mohd Khairul Amri Md Zainal, 32, maut selepas tercampak keluar dari kereta Proton Wira dipandunya.

Rakannya, Ahmadi Jambol, 40, yang duduk di sebelah pemandu cedera dan menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua sahabat itu yang bekerja sebagai buruh binaan dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke rumah mereka di AMBS.

Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal sebelum merempuh jambatan di situ.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 5:35 PM