Dr Mah (kiri) and Pengarah Jabatan Kesihatan Perak Datuk Dr Juita Ghazalie menunjukkan keputusan ujian makmal daripada Jabatan Kimia berhubung kes keracunan makanan di Batu Gajah. FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Othman


Ipoh : Racun serangga Carbamate menjadi punca 102 orang keracunan makanan di Batu Gajah Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, keputusan itu diperoleh daripada Jabatan Kimia dan racun serangga berkenaan ditemui dalam empat jenis makanan yang dijual di kedai makanan terbabit, iaitu sambal nasi lemak, kuetiaw, kuih bom dan kuih cucur badak.

Katanya, hasil ujian makmal mendapati racun serangga jenis Carbamate itu menyerupai bahan kimia yang sebelum ini dikenal pasti sebagai Organophosphate.

"Hasil laporan kimia turut mendapati racun berkenaan tidak ada kaitan dengan semburan racun ke atas rumput di kawasan kedai berkenaan, namun kita menyerahkan kes berkenaan kepada polis bagi menyiasat punca racun serangga itu ada dalam makanan berkenaan," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurutnya, bilangan pesakit yang dilaporkan sejak hari pertama kes berkenaan adalah seramai 37 namun meningkat kepada 102 orang berikutan kesemua individu mengalami simptom sama termasuk muntah, cirit-birit dan badan berpeluh selepas makan makanan di gerai berkenaan.

"Hanya tiga individu masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) termasuk seorang wanita masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang lagi pesakit dipindahkan ke hospital swasta atas permintaan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 6:12 PM