ANJUR kelas Rahsia Bicara Luar Biasa Tepat.

Oleh Siti Zarinah Sahib

[email protected]

Pada 1998 dia pernah disahkan menghidap kanser usus tahap empat. Bermula sebagai gastrik, Dr Kasmah Misran hanya menganggap ia sebagai sakit biasa. Tetapi semakin kerap pula perutnya sakit dan memulas-mulas. Terasa sesuatu yang luar biasa dia terus mendapatkan rawatan doktor dan selepas pemeriksaan doktor mengesahkan Dr Kasmah menghidap kanser usus tahap empat.

“Berita ini ibarat batu menghempap ke bahu. Namun antara percaya atau tidak apa lagi yang boleh dilakukan selain menerimanya dengan reda. Jalan terbaik ialah pembedahan agar nyawa saya dapat diselamatkan. Selepas itu bermulalah sesi kemoterapi yang amat menyakitkan,” luahnya yang ditemui di pejabatnya di Cheras, baru-baru ini.

Menurut Dr Kasmah, hanya mereka yang benar-benar melalui kemoterapi saja tahu bagaimana rasa­nya. Perit, sakit dan panas yang tidak tertahan rasanya. Itu belum termasuk rasa loya berpanjangan. Namun dia melalui sepanjang satu pusingan dengan harapan agar tiada lagi kemoterapi selepas ini.

Akhirnya kerana tidak sanggup melalui rawatan kemoterapi, Dr Kasmah meminta tempoh dua bulan untuk pulang ke rumah bagi menjalani rawatan sendiri secara semula jadi. Sekiranya apa yang dilakukan tidak mendatang­kan hasil dia berjanji akan menyambung semula kemoterapi.

“Saya muhasabah diri dan mendekatkan diri de­ngan al-Quran. Saya cuba mendalami apa yang disampaikan menerusi al-Quran. Setiap penyakit ada ubatnya.

Menerusi seorang kawan, saya menemui penawar iaitu bersahabat dengan alam semula jadi. Saya mula memasuki hutan untuk mencari tanah liat dicampurkan dengan air yang diembunkan. Itulah petua yang perlu saya lakukan.

“Selepas mendapat apa yang dihajati, campuran ini saya sapu pada bahagian yang sakit setiap hari. Mengapa tanah liat kerana ia bersifat sejuk manakala kanser yang bersifat panas perlu dirawat dengan benda sejuk iaitu tanah liat. Dua bulan saya melakukannya secara istiqamah. Dua bulan selepas itu saya kembali semula ke hospital untuk membuat rawatan susulan. Alangkah terkejutnya doktor selepas kali keenam membuat imbasan kanser saya pulih sepenuhnya,” katanya gembira.

Sejak itu, Dr Kasmah mula percaya minda mempunyai pengaruh yang kuat ke atas fizikal seseorang. Dia mula menukar seluruh gaya hidup dan mula bersahabat dengan alam dan berbicara dengan Allah menggunakan ayat yang sepatutnya. Daripada hanya bekerja, dia mula menghasilkan produk sendiri seperti menjahit baju, minyak pati mawar dan bengkung.

“Ilham untuk menghasilkan produk datang­nya selepas pulih daripada kanser. Tidak sangka produk mendapat sambutan menggalakkan sehingga memaksa saya bekerja tanpa henti. Akibat tidak cukup rehat dan berada dalam tekanan, separuh paru-paru saya hampir rosak. Saya cuba bertenang dan beranggapan ia sebagai ujian bagi menunjukkan sama ada produk yang saya hasilkan benar-benar dapat digunakan untuk pe­nyakit sendiri.

“Alhamdulillah menerusi minyak wangi ini saya mendapat ketenangan sebenar. Saya istiqamah de­ngan apa yang berlaku dan berbicara dengan Allah setiap hari. Akhirnya ujian kedua ini dapat diatasi de­ngan izin Allah,” katanya.

Sejak itu Dr Kasmah reda apa saja ujian dihadirkan Allah kerana yakin setiap dugaan di dunia diwujudkan secara berpasang-pasangan. Sihat ada sakit, gembira ada berduka begitu juga dengan kesusahan akan diberikan ke­senangan suatu hari. Hanya selepas dua ming­gu di hospital, Kasmah dibenarkan pulang dan disahkan sihat sepenuhnya.

Menurut Dr Kasmah rahsia dia pulih sepenuh­nya hanya dengan menukar minda kepada perkara positif setiap masa dan tidak memikirkan kesakitan sebaliknya menukar kepada kata-kata yang lebih meng­gembirakan.

“Ramai bertanya bagaimana melakukannya. Ia seperti mana saat anda jatuh cinta apa saja kesulitan harus ditukar kepada rasa ghairah dan wujudkan kegembiraan. Bayangkan saat anda jatuh cinta atau mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Memang sukar tetapi de­ngan membayangkan semua kegembiraan ini anda akan menghadirkan rasa bahagia dan memberikan aura positif dalam kehidupan,” katanya.

Dibesarkan dalam keluarga susah

Menyingkap kisah lalu, jelas Dr Kasmah, dulu dia dibesarkan dalam keluarga susah. Sering memandang ke atas dan melihat mereka yang berjaya membuat­kan dia berasakan ba­nyak kesukaran dilaluinya. Apa yang difikirkan ialah perkara negatif.

Tetapi sejak menyedari apa saja yang dirasakan ialah doa, dia mula berhati-hati dengan apa yang diucapkan. Malah dengan menukar kesakitan kepada kegembiraan ia dapat menghilangkan semua sel kanser itu sudah cukup membuktikan minda mempunyai kuasa yang sangat berkesan dalam menentukan kejayaan seseorang.

“Berdasarkan pengalaman sendiri saya sedar pentingnya melatih diri untuk bercakap dengan tepat. Sebagai contoh sekiranya kita berkata yang kita tidak sihat atau sakit maka pasti kita akan jatuh sakit kerana Tuhan me­ngikut sangkaan hamba-Nya. Kata-kata itu satu doa dan berdoa harus ditujukan kepada siapa dan perlu jelas,” ujarnya.

Jelasnya, bercakap itu memerlukan getaran dan getaran melahirkan ghairah. Sekiranya berada dalam kesedihan atau kesusahan, ubah minda untuk berfikir hanya perkara menyeronokkan.

Buat seminar RBLBT

Menerusi pengalaman yang diperoleh ini Dr Kasmah mengambil keputusan untuk berkongsi ilmu me­ngenai Rahsia Bicara Luar Biasa Tepat (RBLBT) yang ramai tidak tahu kepentingannya dalam kehidupan. Mengapa berdoa tetapi masih belum dimakbulkan Allah. Ia ada kaitannya dengan cara kita berdoa dan juga perkataan yang diucapkan.

Berdoa bukan sekadar biasa-biasa tetapi perlu tahu kepada siapa dituju dan juga apa yang di­inginkan. Ia perlu spesifik dan jelas. Misalnya inginkan kereta jelaskan jenis, warna dan bila ingin mendapatkannya. Apabila ia tepat barulah ia sampai.

“Tetapi apa yang berlaku antara kita sendiri tidak yakin selepas berdoa. Hati berkata-kata betul ke boleh dapat. Apabila ada perasaan begitu bagaimana Allah ingin memakbulkan doa kita kerana hadirnya perasaan tidak yakin dengan kekuasaan Allah. Mengapa perlu mempertikaikan urusan Allah selepas berdoa dengan rasa tidak yakin dari dalam diri,” soalnya.

Inilah yang ingin disampaikan agar lebih ramai orang tahu pentingnya berbicara secara tepat agar dapat menghasilkan keputusan yang tepat. Kelas RBLBT ini terbuka kepada semua yang berusia 20 tahun ke atas. Untuk maklumat lanjut boleh mengajukan e-mel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 5:56 AM