AKSI kanak-kanak dalam pertandingan menangkap itik pasti mencuit hati.
Oleh Suliati Asri


Gelagat kanak-kanak riang mencari ikan di celah lopak air di dalam keleboq (lumpur) sawah cukup mencuit hati. Orang dewasa pula sibuk mengerat (menuai) dan memukul (membanting) padi ke dalam tong kayu beramai-ramai.

Dengan angin bertiup lembut dan suhu dingin persis di lokasi tanah tinggi, ia menambahkan keseronokan dan kemeriahan aktiviti dilakukan.

Ingin menyertai keseronokan yang dirasai terutama penduduk di Perlis? Pesta Angin Timur 2016 adalah tempat dan masa paling sesuai untuk melawat negeri itu.

Musim angin timur yang membawa cuaca sejuk dan sering hadir sekitar Disember hingga Mac setiap tahun, pelbagai aktiviti yang menyeronokkan diadakan.

Antaranya, sawah bertukar menjadi gelanggang bermain layang-layang dan bola sepak sementara menanti musim menanam padi seterusnya.

Dianjurkan pada tahun keempat selepas diperkenalkan pada 2011, Pesta Angin Timur 2016 yang akan bermula esok hingga Ahad di Kampung Padang Benta, Simpang Empat, menyenaraikan pelbagai aktiviti menarik yang pastinya akan menarik ramai pelancong dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis Rahmat Md Noh berkata, musim angin timur seharusnya dimanfaat dan dipromosikan sebagai produk pelancongan.

Katanya, generasi kini serta pelancong dalam dan luar negara perlu didedahkan dengan fenomena angin sejuk di Perlis dan kegiatan seni budaya masyarakat tempatan.

“Aktiviti seni budaya masyarakat tempatan suatu ketika dahulu mewarnai sepanjang musim angin timur dan ia perlu dikembalikan semula,” katanya.

Bakal dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pesta kali ini diisi dengan pertandingan menggagau ikan (menangkap ikan air tawar menggunakan tangan), pertandingan menangkap itik, memancing, kambing cantik, petani ‘sado’, pertandi­ngan suara burung merbah jambul dan banyak lagi.

Pertandingan lumba kerbau besi yang menjadi jenama dalam program ini dan sentiasa dinanti-nantikan pengunjung turut diadakan.

Turut dijadualkan berlangsung ialah persembahan ghazal parti, wayang kulit, hadrah, kesenian Kembara Inspitari, demonstrasi pembuatan kuih tradisional dan mengemping padi.

Pameran daripada 30 jabatan dan agensi kerajaan juga diadakan sebagai platform penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat.

Pelancong luar negara juga berpeluang mengutip pengalaman dengan menyertai permainan wau, permainan tradisional seperti congkak, dam aji, bola bulatan dan batu tujuh serta mengemping padi.

Untuk maklumat lanjut, www.facebook.com/pestaangintimurperlis2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 6:31 AM