RONALDO ledak gol pembukaan Real.
AFP

Madrid: Gol sumbangan Cristiano Ronaldo dan James Rodriguez menyebabkan AS Roma menyesali kegagalan menyempurnakan beberapa peluang ketika Real Madrid mara ke suku akhir Liga Juara-Juara 4-0 secara agregat selepas menang 2-0, awal pagi semalam.

Edin Dzeko dan Mohamed Salah gagal melakukan penyudah di depan gol buat pelawat sebelum dua gol dalam tempoh empat minit pada babak kedua memastikan Madrid menang kali pertama dalam perlawanan timbal balik ke atas lawan dari Itali di Eropah dalam tempoh 29 tahun.

Ronaldo merembat masuk hantaran silang Lucas Vasquez 26 minit sebelum tamat sebelum menjadi pengumpan kepada Rodriguez meledak gol kedua.

“Saya gembira dengan cara kami menyerang dan saya fikir kami meningkat ketika bertahan pada babak kedua,” ujar bos Real Zinedine Zidane.

“Setiap orang mengimpikan menang Liga Juara-Juara dan kami masih bersaing untuk merebut kejuaraan.”

Jurulatih Roma Luciano Spalletti mengkritik tahap mental pasukannya selepas membiarkan Madrid bermaharajalela.

“Perlu ditegaskan kami memiliki lebih banyak peluang berbanding mereka dan jika kami menggunakan peluang itu mereka pasti tertekan,” kata Spalletti.

“Ketika ini tahap mental pemain kami agak rapuh. Ia perlawanan besar yang menyebabkan kami gementar dan kami perlu mengubah semua ini.”

Gareth Bale digantikan selepas sejam oleh Vasquez dan pemain sayap Sepanyol itu pantas mencipta impak dalam laluan menghasilkan gol ke-13 buat Ronaldo dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Empat minit kemudian kedudukan berubah 2-0 apabila Ronaldo mengemudi serangan balas pantas Madrid dan mengumpan kepada Rodriguez yang menyepak masuk di celah kelangkang penjaga gol Roma Wojciech Szczesny.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:25 AM