OMAR
AFP

Washington: Komander kanan Daish yang berpangkat bersamaan menteri pertahanan dipercayai terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) di timur laut Syria, kata pegawai AS semalam.

Sasaran serangan pada 4 Mac adalah Omar al-Shisani, warga Georgia yang berjuang untuk kumpulan militan itu di Syria, kata Pentagon, namun mengakui pihaknya masih belum membuat penilaian penuh terhadap hasil operasi itu.

Seorang pegawai AS yang enggan identitinya didedahkan berkata, Omar ‘mungkin maut’ dalam serangan dari pesawat pejuang dan dron AS yang bertubi-tubi bersama 12 militan lain.

Omar - atau nama sebenarnya Tarkhan Batirashvili - antara lelaki paling dikehendaki AS dengan ganjaran AS$5juta (RM20.56 juta) terhadapnya. Bagaimanapun, AS tidak mengisytiharkan secara rasmi serangan itu membunuhnya.

Kekurangan tentera AS di darat menyukarkan penilaian tepat operasi menyasarkan militan di Syria dan sebelum ini pernah beberapa kali ‘terlepas’ berita palsu mengenai kematian Omar.

Jurucakap Pentagon, Peter Cook menggambarkan Omar sebagai ‘pemimpin pertempuran berpengalaman yang mengetuai Daish di Iraq dan Syria.’

Jika berita kematiannya benar, ini mampu mengekang usaha Daish merekrut orang asing terutama dari Chechnya dan wilayah Caucasus selain menghalang cubaan kumpulan itu mempertahankan kubu kuat mereka di Syria dan Iraq.

Sementara itu, Perbendaharaan AS menggambarkannya sebagai pejuang pengganas asing pada 2014 dan berkata Omar mempunyai ‘kuasa unik’ di dalam Daish.

Dalam serangan terbaru itu, pesawat AS menghampiri Al-Shadadi, bandar di timur laut Syria yang dirampas semula daripada Daish pada bulan lalu oleh pejuang tempatan yang memerangi kumpulan itu dan bersekutu dengan pakatan tentera diketuai AS.

Omar berasal dari bandar di Georgia yang dihuni etnik Chechen, kata pegawai itu dan berjuang menentang tentera Russia sebelum menyertai tentera Georgia pada 2006 serta sekali lagi berjuang menentang tentera Moscow pada 2008.

Selepas keluar dari tentera Georgia atas alasan kesihatan, dia memasuki Syria pada 2012 dan menyertai Daish pada 2013.

Antara pencapaiannya untuk Daish adalah mengubah kumpulan pemberontak biasa menjadi pejuang yang cukup kuat untuk melawan tentera Syria.

Omar dipercayai menguasai sebuah penjara di Tabqa berhampiran Raqa di mana tebusan asing mungkin ditahan di situ selain mengetuai operasi ketenteraan Daish di utara Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 9:07 AM