Anggota Penguatkuasaan JPN Melaka memeriksa dokumen pengenalan diri milik warga Filipina (duduk) yang didapati palsu ketika operasi di sekitar Melaka. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang wanita Filipina dipercayai ejen pengeluaran sijil kelahiran dan MyKad palsu ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam Ops ID di Kampung Gelam di sini, awal pagi tadi.

Wanita terbabit antara enam yang ditahan selepas jabatan terbabit melakukan serbuan di beberapa rumah di tiga lokasi berbeza iaitu Kampung Gelam, Paya Rumput dan Seri Tanjung di sini.

Pengarah JPN negeri Norazle Sulaiman berkata, wanita berusia 55 tahun itu didapati memiliki kira-kira 50 salinan fotostat sijil kelahiran dan kad pengenalan milik pelbagai individu yang diragui.

“Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen negeri, dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), kita menahan lima wanita dan seorang lelaki berusia 20 hingga 55 tahun dan lima daripadanya warga Filipina dan seorang Indonesia," kata Norazle.

Menurutnya, kes disiasat mengikut di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (pindaan 2007).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 2:56 PM