SUBROMANIAM (dua dari kiri) selepas sidang akhbar mengenai kad laporan pelaksanaan GST di Kuala Lumpur, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kerajaan yakin dapat mengutip hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga RM39 bilion pada tahun ini, mengatasi jumlah yang diperoleh pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, pada tahun lalu, jumlah kutipan melebihi sasaran awal ditetapkan iaitu sebanyak RM27 bilion.

“Bagaimanapun, jumlah sebenar hasil kutipan GST bagi tahun lalu hanya akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar mengenai kad laporan pelaksanaan GST, di sini, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan GST adalah sebahagian daripada program pembaharuan cukai kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran serta pengurusan cukai di negara ini.

“Ia adalah rejim cukai baru yang lebih telus dan berkesan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang digunakan sebelum ini,” katanya.

Subromaniam berkata, jabatan itu mengambil beberapa inisiatif, termasuk pematuhan dan akan menghantar pasukan auditnya untuk mengesahkan serta bekerjasama dengan perniagaan tempatan.

“Masih banyak kekeliruan dalam kalangan perniagaan mengenai pelaksanaan GST. Masih banyak syarikat yang masih tidak bersedia bagi GST.

“Kita jangka, masih terdapat puluhan ribu lagi syarikat yang melebihi syarat untuk mendaftar GST namun, masih belum berdaftar dengan Jabatan Kastam. Angka berkenaan terus berubah memandangkan kewujudan banyak syarikat baru,” katanya sambil menambah setakat ini, terdapat lebih 406,000 syarikat berdaftar untuk GST.

Menurutnya, pihaknya juga sedang menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan tempoh tuntutan GST bagi syarikat.

“Bagi bulan pertama pelaksanaan GST, kami hanya boleh membayar balik 17 peratus daripada jumlah tuntutan dalam masa 14 hari, seperti yang ditetapkan undang-undang, tetapi kini angka telah meningkat kepada 70 peratus.

“Kami mengambil banyak inisiatif dan langkah-langkah untuk mencapai proses yang pantas ini. Malah, ia jauh lebih baik berbanding kebanyakan negara Eropah yang mengambil masa sehingga dua minggu untuk memproses tuntutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 7:03 AM