Siti Farahiyah Aziz

Rasa cemburu sentiasa terdetikdi hati. SITI FARAHIYAH AZIZ kongsi beberapa tip untuk menangani rasa cemburu dalam perhubungan.

Sifat cemburu pasti ada dalam diri setiap individu dan ia sangat mempengaruhi fikiran dan hati seseorang. Sifat itu mampu merosakkan sesebuah perhubungan sama ada persahabatan, cinta mahu pun kekeluargaan.

Bagaimanapun, rasa cemburu itu boleh diubah dengan cara mengubah persepsi diri kita ke arah yang positif. Sebagai contoh, manfaatkan rasa cemburu sebagai alasan untuk memahami diri sendiri.

Namun, sekiranya berhadapan rasa cemburu, kita perlu tahu cara mengawal diri supaya ia tidak memberikan kesan buruk pada diri sendiri dan orang lain.

Ada kemungkinan orang sekeliling akan menganggap kita seperti seorang yang masih belum matang dan merimaskan mereka. Oleh itu, kita perlu bangkit supaya mereka tidak terus memandang rendah terhadap kita.

Fahami makna cemburu

Cemburu adalah emosi kompleks membabitkan pelbagai rasa termasuk rasa takut, kehilangan, kemarahan, iri, kesedihan, pengkhianatan, perasaan tidak layak dan penghinaan.

Tidak salah sekiranya kita meluangkan sedikit masa untuk memahami rasa cemburu kerana selalunya rasa itu turut diiringi dengan emosi.

Kongsi cerita

Cemburu membabitkan pelbagai aspek. Sekiranya berasa cemburu mengenai sesuatu, kita boleh mengambil langkah berkongsi cerita dengan teman rapat kerana dia lebih memahami diri kita.

Sekurang-kurangnya ia mampu memberi keselesaan selepas meluahkan rasa cemburu yang terbuku dalam hati.

Elak perbandingan

Jangan terlalu mudah membandingkan diri kita dengan orang lain kerana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

Perbandingan perbezaan akan membuatkan keyakinan diri kita semakin menurun dan akhirnya mengundang rasa cemburu.

Oleh itu, elakkan memikirkan kekurangan diri supaya kita terus dibelenggu perasaan tidak sihat ini.

Tambah kenalan

Rasa cemburu sinonim dengan gadis saja. Namun jika diselami, rasa cemburu turut menghantui lelaki. Kelebihan lelaki adalah mereka lebih bijak mengawal perasaan itu.

Oleh itu, tambah kenalan dan perluaskan lagi pergaulan. Jangan hadkan bilangan kawan. Keadaan ini akan membuatkan kamu lebih berfikiran positif dan sekiranya ada apa-apa terjadi mereka boleh menjadi tempat luahan serta memberi kekuatan kepada kamu.

Jadi positif

Dalam menjalin perhubungan, pasti ada rasa cemburu. Kita boleh jadikan cemburu itu kepada cemburu yang positif.

Positif yang dimaksudkan ialah gunakan cemburu untuk memberi pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 8:32 AM