FATEHAH (kanan) mahu bangkit selepas gagal menonjol pada Kejohanan Trek Dunia di London.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) percaya peluang Fatehah Mustapa melakar kejayaan di Olimpik Rio tetap ada walaupun gagal menonjol di Kejohanan Trek Dunia, London, minggu lalu.

Ia ditegaskan Timbalan Presiden Datuk Naim Mohamad mengenai peluang pelumba wanita negara itu yang bakal beraksi dalam acara pecut individu.

“Kita tidak boleh memperkecilkan peluang Fatehah. Apabila seseorang pelumba sudah layak ke Olimpik, peluangnya untuk melakar kejayaan tetap ada.

“Walaupun prestasinya di London kurang memberangsangkan berbanding pelumba negara lain, apa saja boleh berlaku di Olimpik.

“Kita menaruh harapan dia mampu meraih kegemilangan apabila turun di Rio nanti,” katanya.

Walaupun menempah tiket ke Olimpik menerusi acara pecut individu, Fatehah gagal menyerlah dalam acara berkenaan dan keirin apabila terkandas pada pusingan awal.

Bagaimanapun prestasinya di London dibayangi kecederaan belakang pinggang sehingga menjejaskan persembahannya.

“Kita masih ada enam bulan sebelum temasya Rio bermula. Saya lebih gemar jika pencapaiannya tidak luar biasa sebelum ke Rio namun mencapai tahap terbaik apabila tiba masanya nanti,” tambah Naim.

Fatehah serta Azizulhasni Awang diberikan rehat selama dua minggu sebelum meneruskan latihan dan tumpuan untuk menghadapi Olimpik Rio di Australia dan Portugal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:02 AM