Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Kawasan longgokan tayar terbuang seluas 0.4 hektar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, dekat sini, musnah terbakar, jam 12.55 tengah malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Sepasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bergegas ke lokasi kejadian dengan dibantu anggota daripada BBP Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba, kebakaran membabitkan longgokan tayar terbuang dengan keluasan 0.4 hektar sedang terbakar dan merebak ke beberapa kawasan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba berjaya memadamkan api daripada terus merebak ke kilang memproses minyak daripada tayar terbuang.

"Sebuah kilang memproses minyak daripada tayar terbuang terbakar hanya 30 peratus terbakar dan kebakaran dapat dikawal 7.30 pagi tadi.

"Namun kerja-kerja pemadaman api masih dilakukan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 11:38 AM
KAWASAN longgokan tayar terbuang yang terbakar. FOTO ihsan Bomba