HWANG (kiri) berjabat tangan dengan Naib Pengarah Universiti Sakha, Russia, Vasily Vasiliev.
BANGKAI anak singa gua yang dipercayai hidup pada Zaman Ais.
ANAK singa purba yang dipercayai hidup 12,000 tahun lalu.
HWANG dan penyelidik memeriksa anak singa purba terbabit.
WALAUPUN bangkai gajah purba betina ini yang ditemui pada tahun 2007 dijaga rapi, DNAnya masih belum berhasil diperoleh untuk diklon. Bagaimanapun, ahli biologi Beth Shapiro percaya ada cara lain untuk mengklonnya.
Susunan Hartini Mohd Nawi


Saintis kini cuba mendapatkan asid deoksiribonukliek (DNA) daripada dua anak singa gua yang dipercayai hidup pada Zaman Ais dalam percubaan untuk mengklonkan haiwan yang sudah pupus itu.

Kedua-dua anak singa purba itu ditemui di wilayah Sakha, Russia, Ogos lalu.

Bangkai haiwan itu ditemui hampir sempurna kerana wilayah Sakha adalah kawasan sejuk dan membeku sepanjang tahun.

Penyelidik berharap dapat memperoleh tisu hidup yang mengandungi DNA pada bangkai haiwan itu bagi membolehkan mereka ‘mencipta’ semula singa purba itu melalui proses pengklonan.

Penyelidik berharap masih ada tisu hidup pada bangkai anak singa berkenaan bagi membolehkan mereka mengambil DNA.

Projek penyelidikan itu usaha sama saintis Russia dan Korea Selatan di Joint Foundation of Molecular Paleontology, North-Eastern Russia University di bandar Yakutsk. Universiti itu turut menjadi Muzium Mamot (spesies haiwan zaman purba yang sudah pupus).

Pengarah muzium itu Dr Semyon Grigoriev pernah terbabit dengan projek mengklon mamot menggunakan kaedah sama.

Berikutan itu, saintis kini bekerja keras untuk mengklon anak singa gua berkenaan.

Usaha itu dilakukan pasukan saintis Korea Selatan bagi menghidupkan semula haiwan berbulu lebat yang sudah lama tidak ditemui.

Pengklon kontroversi Korea Selatan, Hwang Woo-suk berada di Yakutsk minggu ini untuk menyelia penyingkiran sampel kulit dan tisu otot dari bangkai anak singa gua berkenaan yang dikatakan mati sekurang-kurangnya 12,000 tahun dulu.

Bagaimanapun, berlaku pertikaian antara Hwang dengan saintis Siberia mengenai ketebalan saiz lapisan beku yang diperoleh menyebabkan saintis dari Seoul itu tidak berpuas hati dengan sample berkenaan.

Hwang adalah pakar genetik terkemuka dunia. Dia orang pertama mengklon Snuppy, nama kepada baka anjing pemburu Afghan yang lahir pada tahun 2005.

Sementara itu, The Siberian Times memetik Dr Grigoriev berkata, pasukan penyelidik dan saintis dijangka mengambil tempoh masa lama seperti yang berlaku ketika mengkaji bangkai mamot sebelum ini.

“Tapi ia tidak membabitkan kajian terhadap anak haiwan seperti ini. Anda juga perlu faham anak singa itu sangat kecil dan tidak mungkin memberikan banyak hasil kajian seperti diharapkan.

“Satu daripada bangkai anak singa kini disimpan di dalam peti sejuk beku di Russia bagi melihat kemajuan saintis dalam menganalisis dan pengklonan.

Ketua kajian mamot dari Yakutian Academy of Sciences, Dr Albert Protopopov berkata, kaedah penyelidikan kini makin bertambah maju dan kira-kira satu dekad sekali pasti terdapat revolusi mini.

“Justeru, kami melakukan pelbagai usaha bagi memastikan bangkai ini dibekukan untuk seberapa lama yang boleh,” katanya.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa pihaknya berjaya mengambil beberapa sampel kulit dan tisu otot anak singa gua itu.

“Kami berharap dapat menemui apa yang kami cari dalam sampel ini,” katanya.

Singa gua biasanya hidup pada Zaman Pertengahan dan lewat Pleistocene di benua Eurasia dari Britain hingga timur Russia.

Malah, haiwan itu turut berkeliaran di Alaska dan barat laut Kanada.

Menurut pakar, penyelidikan terhadap dua anak singa itu dapat membantu menjelaskan mengapa spesies itu pupus sekitar 10,000 tahun lalu.

Mamot

Institut Penyelidikan Siberia turut bergabung dengan Hwang untuk mengklon mamot dan spesies yang pupus sejak ribuan tahun lalu.

Naib Rektor North-Eastern Federal University, Republik Sakha di Russia, Vasily Vasilyev dan Hwang daripada Yayasan Penyelidikan Bioteknologi Sooam,Korea Selatan menandatangani perjanjian dan berharap dapat menghasilkan mamot hidup dalam tempoh enam tahun.

Mamot dikatakan hidup di utara Siberia dan mula pupus kurang 2,000 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 12:49 PM