PAKET dadah dijumpai. Muhammad Zuhairi Zuber
PAKET dadah dijumpai. Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Enam lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan pada empat siri tangkapan dan lokasi berbeza dalam tempoh 24 jam di sekitar daerah Melaka Tengah, semalam dan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dipercayai sudah dibungkus untuk diedar kepada penagih bernilai lebih RM9,000.

Menurutnya, tangkapan pertama dibuat ke atas suspek berusia 50-an di Lorong Pandan, di sini, dan dadah dipercayai heroin seberat 15 gram, syabu (0.5g), ganja (0.7g) dan erimin5 (8 biji) dirampas.

"Tangkapan kedua pula dibuat ke atas suspek berusia awal 40-an di tepi jalan di Tanjung Minyak dan kita merampas dua plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 22g.

"Manakala tangkapan ketiga, kita menangkap tiga lelaki berusia 32, 33 dan 34 tahun di pondok di tepi Jalan Tampoi di sini dan merampas sembilan paket heroin seberat 58g," katanya di Pejabat Narkotik daerah Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga tangkapan itu dibuat semalam, masing-masing pada 1 pagi, 11.30 pagi dan 11 pagi.

Sementara tangkapan terakhir dibuat ke atas seorang suspek berusia 40-an di tepi jalan di Jalan Klebang Besar pada 12.30 tengah malam tadi.

"Ketika suspek terakhir ditahan, kita menjumpai sembilan paket lutsinar heroin seberat 151g," katanya, sambil mengesahkan semua suspek direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 7:14 PM