Kim Swee mula latihan pusat untuk skuad kebangsaan pada 14 Mac. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyenaraikan 23 pemain untuk menjalani latihan pusat pada 14 Mac bagi menghadapi Arab Saudi 10 hari selepas itu.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata latihan pusat enam hari untuk aksi terakhir Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 itu akan diadakan secara berperingkat kerana ada pemain tidak dapat menyertainya pada hari yang sama berikutan komitmen lain.

Ini termasuk pemain Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terbabit dalam perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut kenyataan itu tujuh pemain perlu melaporkan diri kepada Kim Swee pada 14 Mac - Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Brendan Gan (Kelantan), Joseph Kalang Tie, Yong Kuong Yong dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu) dan Matthew Davies (Pahang).

Empat pemain Selangor, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham melapor diri pada 17 Mac disusuli Baddrol Bakhtiar, Mohd Farhan Abu Bakar dan Muhammad Amirul Hisyam Awang Kechik (semuanya Kedah) dua hari kemudian.

Lapan pemain JDT serta pemain Perak, Shahrul Mohd Saad pula akan melaporkan diri kepada Kim Swee pada 20 Mac.

Pemain JDT terlibat ialah Izham Tarmizi Roslan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Fadhli Shas, Muhammad Fazly Mazlan, S Chanturu, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah dan S Kunanlan.

Pemain Kedah dan Perak terbabit dalam perlawanan suku akhir Piala FA.

FAM turut memaklumkan lima pemain perlu bersedia dipanggil sekiranya mana-mana 23 pemain berkenaan disahkan cedera oleh doktor pasukan.

Mereka ialah Farizal Marlias dan Mohd Nazrin Nawi (JDT), Ahmad Fakri Saarani (Kedah), K Gurusamy (Sarawak) dan Adam Nor Azlin (Selangor).

Skuad kebangsaan akan bertolak ke Jeddah pada 20 Mac bagi melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A berdepan Arab Saudi di Stadium King Abdullah Sport City, Arab Saudi pada 24 Mac.

Sekembalinya ke tanah air pada 25 Mac skuad Kim Swee akan berlepas ke Melaka untuk aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' menentang Macau di Stadium Hang Jebat pada 29 Mac.

Ia perlawanan persahabatan sulung Malaysia tahun ini.

Senarai 23 Pelatih:

--------------------

Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Brendan Gan (Kelantan); Joseph Kalang Tie, Yong Kuong Yong dan Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu); Matthew Davies (Pahang); Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Mohd Hafiz Kamal, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (Selangor)

Baddrol Bakhtiar, Mohd Farhan Abu Bakar dan Muhammad Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah); Shahrul Mohd Saad (Perak); Izham Tarmizi Roslan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Fadhli Shas, Muhammad Fazly Mazlan, S. Chanturu, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah dan S. Kunanlan (JDT).

BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 7:31 PM