TIGA cara boleh anda lakukan untuk rawat keletihan penglihatan dengan bajet rendah di rumah.

SHUHADA MANSOR kongsi tiga cara terbaik boleh anda cuba. Seharian menghadap gajet atau komputer buatkan mata cepat letih, cuba cara ini dan rasai perbezaannya.

Penggunaan gajet dan komputer yang membuatkan kita banyak menghadap skrin menjadikan mata cepat letih. Bayangkan seharian menghadap komputer disambung pula dengan melayari Internet di rumah pasti membuatkan mata tidak bermaya.

Lingkaran gelap bawah mata juga akan mula kelihatan akibat kurang tidur. Mata akan mula menunjukkan masalah dengan berwarna kemerahan pada mata putih dan cepat kering. Hal ini juga mampu membuatkan mata berisiko sakit seterusnya menjurus kepada masalah lain lebih teruk. Cuba tiga cara mudah ini :

AIR SUAM

Ambil sehelai kain dan basahkan dengan air suam sederhana panas. Elak merendamnya dengan air yang terlalu panas kerana akan mencederakan urat mata. Selepas itu, perah kain terbabit dan letakkan di bahagian mata.

Tenang dan rehat kerana ia mampu mempercepatkan proses menyegarkan mata. Biarkan selama 10 minit dan anda pasti akan merasai kesegarannya.

TIMUN

Ramai tahu timun adalah makanan baik untuk kesihatan. Selain itu, timun juga mampu membuat mata kelihatan segar dan menghilangkan bengkak bawah mata. Praktikkan cara mudah ini untuk kembalikan kesegaran mata dengan secepatnya:

Ambil timun yang disimpan sejuk dalam peti sejuk. Kemudian, hiris timun sederhana nipis. Pejamkan mata dan letakkan timun itu ke atas kelopak mata dengan posisi baring.

Biarkan selama 10 minit. Anda pasti akan dapat berasakan kesegarannya serta bengkak di bawah mata akan turut berkurangan. Cubalah!

TEH HIJAU

Ramai yang tidak tahu khasiat teh hijau. Teh hijau mempunyai seribu satu khasiat yang mampu membuat anda seakan-akan tidak percaya kesannya. Selain dapat meningkatkan metabolisme tubuh, teh hijau juga dapat menghilangkan ­lingkaran gelap bawah mata. Jadi bagi anda yang mempunyai masalah lingkaran gelap bawah mata, ini yang patut anda cuba.

Rendam uncang teh hijau dengan air suam. Kemudian letakkan­nya ke atas kelopak mata selama beberapa minit. Lakukan kaedah ini tiga kali seminggu dan lihatlah hasilnya. Lingkaran gelap bawah mata menjadi pudar dan lama-kelamaan akan hilang sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 5:59 AM