CAHILL (dua kiri) mahu rakan tebus duka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara.

Liverpool: Pertahanan Chelsea Gary Cahill mencabar rakan sepasukannya supaya bangkit menebus kesilapan yang menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara dengan melangkah ke separuh akhir Piala FA.

Selepas tersingkir daripada kejohanan elit Eropah dengan agregat 4-2 di tangan Paris Saint Germain kelmarin, Piala FA adalah satu-satunya peluang yang ada buat Chelsea untuk memenangi kejuaraan musim ini.

Skuad kendalian Guus Hiddink itu bertandang ke Everton untuk mengharungi suku akhir Piala FA dengan harapan dapat menempah tiket ke kelompok empat terakhir dan piala berkenaan pernah dijulang jurulatih Belanda itu ketika beliau bergelar pengurus sementara di Stamford Bridge pada 2009.

Hiddink menganggap juara bertahan Liga Perdana itu sedang mengalami perubahan dan mengingatkan anak buahnya supaya memikirkan lebih lanjut mengenai peluang mereka yang masih berbaki musim ini.

Bagaimanapun, jika berjaya menjulang Piala FA sekalipun, ia pasti tidak cukup untuk memadam segala kekecewaan yang berlaku musim ini dan ia bermula ketika dikendalikan Jose Mourinho.

Kejayaan di Piala FA mungkin menyuntik sedikit semangat juang pemain dan Cahill mahu memastikan Chelsea dapat memberikan tumpuan penuh apabila bermain di Goodison Park.

“Kami perlu kembali menumpukan perhatian untuk menjulang sesuatu musim ini dan halangan pertamanya ialah hujung minggu ini,” kata Cahill.

Rakan sepasukan Cahill, Branislav Ivanovic meluahkan kekecewaannya serta semua pemain lain selepas ditewaskan 1-2 oleh juara Perancis itu di Stamford Bridge sekali gus memaksa mereka melupakan saingan elit Eropah berkenaan.

“Saya pasti merindui aksi Liga Juara-Juara,” katanya. “Semua pemain memang bermimpi untuk beraksi di Liga Juara-Juara. Sebagai pemain, Liga Juara-Juara adalah kejohanan yang penting.

“Adalah sesuatu yang sangat mengecewakan jika tidak dapat bermain di Liga Juara-Juara musim depan.

“Untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas bukan mudah. Setiap musim, ia tidak pernah mudah.

“Tetapi pasukan kami mempunyai karektor untuk berbuat demikian musim depan. Kami juga boleh bersaing untuk memburu kejuaraan dan kami mahu bermain di Liga Juara-Juara.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 6:47 AM