Skip this ad x

Taiping: Polis cekup lapan lelaki dalam serbuan di Trong, di sini, pada 2.30 pagi ini.

Mereka diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping itu.

Kesemua yang ditahan berusia 24 hingga 42 tahun.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata kesemua lelaki itu diberkas atas pelbagai kesalahan dadah mengikut Seksyen 39B, 39 A (2), 39 A (1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Hasil pemeriksaan beg tangan yang dipegang oleh suspek pertama berusia 40 tahun beralamat Bukit Tengah, Pulau Pinang, polis menemui sebelas paket plastik lutsinar dan tiga tiub straw berisi dadah heroin.

“Selain itu paket plastik lutsinar berisi syabu dan 99 pil Eramin 5.

“Daripada beg pinggang yang dipakai oleh suspek kedua berusia 40 tahun dan berasal dari Trong pula menemui satu paket pkastik lutsinar dan tiga tiub berisi dadah heroin, dua paket plastik lutsinar dan dua tiub straw berisi dadah syabu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan beg pinggang dipakai suspek ketiga berusia 38 tahun pula, menemui enam paket plastik lutsinar berisi dadah heroin dan empat paket plastik lutsinar berisi dadah syabu.

Katanya, polis juga menemui di atas lantai rumah yang diserbu tiga paket lutsinar dan dua tiub straw berisi dadah heroin serta sepaket plastik berisi dadah syabu.

“Lima lagi tangkapan pula didapati positif dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 3:38 PM