AKSI Norizman di litar.
AKSI Norizman di litar.

Kuala Lumpur: Norizman Ismail (gambar) antara pelumba paling senior dalam kelas CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan kelibatnya sering menggerunkan lawan lantaran reputasinya.

Pelumba yang sudah lama menabur bakti bersama pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu memiliki rekod cemerlang apabila muncul juara sebanyak dua kali dalam kelas perdana Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS iaitu Expert (2005) dan CP130 (2011).

Tahun ini, pelumba berusia 31 tahun itu meneruskan misi memburu gelaran ketiga dalam kelas perdana sekali gus menyamai rekod milik Ahmad Fuad Baharudin yang mempunyai tiga gelaran dalam koleksinya termasuk kali terakhir dimenangi pada tahun 2013 sebelum bersara.

Namun begitu, pelumba itu tetap tenang bagi menghadapi saingan musim 2016 yang baru bermula minggu ini di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor dan dia tidak mahu terburu-buru dalam mengejar misi peribadi sebaliknya tetap menumpukan kepada misi pasukan.

“Kalau ikutkan, memang saya memasang impian untuk mengejar gelaran ketiga, apatah lagi selepas dua kali muncul naib juara keseluruhan pada 2013 dan 2014,” kata Norizman.

“Tahun lalu agak mengecewakan apabila sekadar menamatkan musim di tempat kelima. Prestasi saya tidak begitu konsisten, lebih kecewa lagi apabila pencapaian terbaik saya hanya muncul naib juara pada perlumbaan terakhir di Pasir Gudang.”

Berazam untuk bangkit tahun ini, Norizman yakin dapat tampil dengan aksi lebih baik.

“Banyak perkara yang sudah kami perbaiki. Memandangkan kami bertukar kepada jentera baharu, banyak perkara perlu dipertingkatkan. Namun, saingan sebenar baru saja bermula dan cabaran masih panjang.

“Saingan tahun ini juga pasti lebih sengit. Juara 2014, Zaqhwan Zaidi akan cuba merampas kembali gelaran, malah pelumba-pelumba senior lain juga semua memasang impian bergelar juara keseluruhan.

“Kehadiran pelumba muda yang beralih ke kelas CP130 musim ini juga tidak boleh dipandang mudah. Contohnya, Kasma Daniel Kasmayudin, dia mempunyai reputasi sebagai juara CP115 musim lalu dan juga Izzat Zaidi, juara CP115 musim 2014.

“Saya tidak boleh memandang mudah dan perlu bekerja lebih keras. Paling penting saya perlu menyusun strategi untuk konsisten berada di kelompok depan dalam setiap perlumbaan,” jelas Noizman.

Menurut pelumba paling senior di dalam pasukan kendalian Song Chee Kieong itu, pada masa sama dia juga perlu memberi tunjuk ajar kepada dua pelumba muda di dalam pasukan.

“Selain Elly (Idzlianizar Ilias) yang sudah berpengalaman, dua lagi pelumba masih muda, Hafiz (Nor Azman) sudah masuk tahun kedua bersama pasukan, jadi dia semakin matang manakala seorang lagi, Nazirul Izzat Md Bahauddin masih berusia belasan tahun dan pertama kali di dalam pasukan. Bukan mudah beraksi dalam kelas CP130 ini. Banyak yang perlu dipelajari, jadi antara tanggungjawab saya adalah untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka sebagai generasi pelapis pasukan dan sukan permotoran negara untuk masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 7:54 AM