Wan Mohd Nor (tiga kanan) diiringi Pengarah JBPM Kedah, Ahmad Shahabudin (kanan) beramah mesra bersama sebahagian penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 JBPM Peringkat Zon Utara di Dewan Serbaguna Kompleks KDN Kedah, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Zuliaty Zulkifli


Alor Setar: Kedah mencatatkan kes tertinggi kebakaran hutan dan belukar, iaitu sebanyak 1,248 kes diikuti Sabah (1,219 kes), Perak (991 kes) dan Selangor (879 kes) sepanjang tiga bulan tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, peningkatan kes itu disebabkan cuaca kering yang berlaku dalam tempoh berkenaan.

Katanya, jumlah kes itu hampir sama dengan jumlah kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

"Kebanyakan kes kebakaran hutan, lalang dan belukar yang berlaku adalah disebabkan sikap manusia yang membuang puntung rokok di tepi lebuh raya dan melakukan pembakaran terbuka tanpa dikawal yang menyebabkan api merebak dengan cepat.

"Bagaimanapun, dengan kekuatan seramai 14,000 anggota kita di negara ini dan dibantu 1,000 anggota bomba bantuan mencukupi untuk memadam kes kebakaran itu ketika cuaca panas yang berlaku sekarang ini, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Zon Utara di Dewan Serbaguna Kompleks KDN Kedah, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 2:16 PM