Mohd Fadly Samsudin


Kajang: Seorang penjenayah melepaskan empat das tembakan sebelum melarikan wang tunai RM24,400 dari premis khidmat kiriman wang di Jalan Abdul Aziz, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, suspek dipercayai warga tempatan meluru masuk ke dalam premis sambil mengacukan pistol ke arah pekerja dan pelanggan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, suspek melepaskan satu das tembakan ke siling sebelum menendang pintu kaunter sehingga pecah.

"Suspek kemudian melepaskan tiga lagi das tembakan ke arah kaunter lalu mengambil wang tunai keseluruhannya berjumlah RM24,400.

"Dua telefon bimbit milik pekerja turut dilarikan suspek sebelum dia melarikan diri menggunakan motosikal," katanya.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 4:04 PM