PASUKAN Politeknik Malaysia menang tiga daripada empat perlawanan.
PASUKAN Politeknik Malaysia menang tiga daripada empat perlawanan.

Kuala Lumpur: Kemenangan bergaya Politeknik Malaysia ke atas Panther Blowpipe 32-19 dalam Liga Super Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mengekalkan rentak kecemerlangan pasukan itu untuk mengharungi saingan peringkat kumpulan di Padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Pengendali Politeknik Malaysia Shafie Osman berkata, kemenangan ketiga daripada empat perlawanan itu ternyata memperlihatkan kesungguhan anak buahnya dalam mengharungi saingan peringkat kumpulan yang menampilkan enam pasukan itu.

Shafie menjelaskan, pemain kini berada dalam keadaan sedia sepenuhnya dan beberapa percaturan baru akan digunakan termasuk latihan taktikal yang lebih agresif terutama di bahagian serangan.

“Pasukan ini membuat persediaan awal dan kami mengekalkan hampir kesemua pemain dengan sasaran untuk kekal dalam liga di samping memperbaiki kedudukan musim lalu.

“Saya percaya jika pemain mengekalkan rentak permainan seperti ini, kami mampu untuk pergi lebih jauh,” katanya.

Shafie berkata, Politeknik Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama COBRA, NS Wanderers, SSTMI, DBKL, Panther Blowpipe dan JLJ.

“Hampir kesemua pasukan ini berpengalaman dalam saingan Liga Super berbanding Politeknik Malaysia namun jika dilihat dalam saingan peringkat kumpulan, kami mampu mengukir kejutan,” katanya.

Menurutnya, mereka juga mengharapkan ketua pasukan, Amir Aswad Mat Saat terus konsisten dengan sepakan penalti dan ‘conversion’ selain beberapa tonggak kebangsaan antaranya Muhammad Hakim Abu Hasan, Azam Fakrullah Abd Razak dan Muhammad Hakimi Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 6:53 AM