NEYMAR (tengah) dipeluk rakan sepasukan ketika meraikan jaringannya.
NEYMAR (tengah) dipeluk rakan sepasukan ketika meraikan jaringannya.
Reuters

Barcelona: Lionel Messi menjaringkan gol dan membantu tiga lagi ketika Barcelona menyamai rekod kelab dengan 12 kemenangan berturut-turut apabila membelasah Getafe 6-0 di Nou Camp semalam.

Pemain Argentina itu yang turut gagal menyempurnakan penalti, meledak jaringan menerusi sepakan lencong manakala Neymar yang kembali daripada penggantungan menjaringkan gol pada setiap separuh masa.

Barca kekal dengan lapan mata mendahului pencabar terdekat Atletico Madrid yang menewaskan Deportivo La Coruna 3-0.

Celta Vigo naik ke tangga kelima dengan kemenangan 1-0 di laman sendiri ke atas Real Sociedad menerusi jaringan kemenangan Iago Aspas pada minit ke-16.

Jaringan ke gawang sendiri oleh pertahanan Getafe Juan Rodriguez meletakkan Barca dalam laluan untuk kemenangan kali ke-12 berturut-turut selepas lapan minit.

Namun Messi kemudiannya gagal menyempurnakan penalti keempatnya musim ini sebelum melakukan hantaran buat Munir El Haddadi dan Neymar untuk melebarkan penguasaan tuan rumah.

Messi, 28, kemudiannya menjaringkan gol keempat sebelum tamat separuh masa dan sekali lagi membantu jaringan Neymar pada separuh masa kedua apabila melorongkan bola ke laluan pemain Brazil itu yang meledakkan gol ke-25 dalam semua kejohanan.

Arda Turan kemudiannya melengkapkan kemenangan dengan voli untuk membenam pelawat yang tewas lapan daripada sembilan perlawanan terakhir liga.

Skuad Luis Enrique kini menghampiri rekod 37 perlawanan tanpa kalah dalam setiap kejohanan dan kemenangan ke atas Getafe menyamai rekod 12 perlawanan berturut-turut seperti yang dicapai pada 2012-13 ketika di bawah kendalian Tito Vilanova.

“Kami pasukan unik, berbeza daripada yang lain sehinggakan lawan tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalang kami,” kata Luis Enrique.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 7:28 AM