PELAJAR cemerlang tidak sukar menjejakkan kaki ke menara gading. - Gambar hiasan
BANYAK kursus kemahiran ditawarkan kepada pelajar yang mahu menjadi pekerja berkemahiran dalam industri.
BIDANG kemahiran boleh dijadikan pilihan kepada pelajar andai tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
PELAJAR boleh melanjutkan pengajian dalam program diploma yang ditawarkan politeknik atau IPT swasta. - Gambar hiasan
PELAJAR cemerlang tidak sukar menjejakkan kaki ke menara gading. - Gambar hiasan
SYARAT kemasukan yang ketat di UA selain sistem pemilihan bersandarkan meritokrasi menyebabkan pelajar sederhana cemerlang terpaksa bersaing antara satu sama lain. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin

Pastinya pada saat ini lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015 yang baru memperoleh keputusan tiga minggu lalu sedang sibuk merencana masa depan.

Bagi yang memperoleh keputusan cemerlang, perancangan melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) dalam atau luar negara menjadi keutamaan.

Mereka yang mendapat keputusan sederhana pula turut mengharapkan tawaran melanjutkan pengajian, manakala yang kurang cemerlang mungkin runsing memikirkan masa depan.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Penyeliaan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Noor Syamilah Zakaria berkata, keputusan SPM atau STPM bukan penentu utama kejayaan seseorang pelajar kerana banyak lagi cabaran mereka perlu tempuhi pada masa depan.

Katanya, sebahagian besar pelajar dan ibu bapa hanya melihat IPT sebagai destinasi terakhir untuk memajukan diri sedangkan kini ada pelbagai pilihan untuk memacu kejayaan dalam hidup.

“Mentaliti ini perlu diubah kerana keputusan peperiksaan sama ada cemerlang atau tidak bukan penentu kejayaan sebenar seseorang pelajar.

“Banyak lagi onak dan duri perlu mereka tempuh. Kini pilihan juga semakin banyak dan bukan bersandarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata.

“Senario kini sudah berubah kerana pelbagai peluang sudah terbentang di depan mata. Antara hendak atau tidak saja,” katanya.

Secara amnya, beliau menggariskan tiga kategori pelajar dan peluang yang mereka boleh terokai.

Kategori pertama, pelajar cemerlang yang ada pelbagai kelebihan.

“Pelajar kategori ini biasanya tiada masalah untuk melanjutkan pengajian dan memperoleh tajaan biasiswa. Bidang pengajian pilihan mereka pula lebih terarah kepada kerjaya profesional seperti doktor, jurutera dan sebagainya.

“Sebahagian besar golongan ini memilih IPT luar negara atau IPT tempatan yang mengenakan syarat kemasukan ketat.

“Secara zahirnya, pelajar dalam kategori ini tidak terlalu berdepan masalah kritikal untuk dipilih melanjutkan pengajian kecuali disebabkan faktor lain seperti salah pilih jurusan, tidak minat dan sebagainya,” katanya.

Beliau menganggarkan kategori ini mewakili 10 peratus daripada keseluruhan jumlah calon SPM atau STPM.

Dr Noor Syamilah berkata, kategori kedua iaitu pelajar memperoleh keputusan sederhana cemerlang adalah golongan teramai.

“Kumpulan ini adalah majoriti iaitu hampir 70 peratus dan boleh disifatkan sebagai penyumbang terbesar kepada kemasukan di IPT.

“Bagaimanapun, IPT tidak boleh mengambil semua mereka kerana tempat ditawarkan terhad. Ia menyebabkan golongan ini dianggap kategori kritikal yang perlu diberi bimbingan supaya tidak tersalah membuat pilihan bagi merancang masa depan,” katanya.

Katanya, ada banyak pilihan lain dimiliki golongan ini selain melanjutkan pengajian di IPT.

“Tidak dinafikan mereka ada kelayakan yang bagus walaupun bukan sangat cemerlang.

“Tapi disebabkan faktor tertentu seperti tempat terhad di IPT dan sistem meritokrasi di universiti awam (UA) menjadikan persaingan dalam kalangan mereka sangat hebat.

“Bagaimanapun, jika gagal ke universiti, ia bukan penamat kehidupan kerana mereka ada pelbagai pilihan lagi,” katanya.

Dr Noor Syamilah memberi beberapa pilihan kepada golongan itu seperti melanjutkan pengajian di universiti swasta, memasuki tingkatan enam, menyambung pengajian peringkat diploma, asasi, matrikulasi atau mengikuti kursus profesional.

“Kategori ini sangat bernasib baik kerana mereka banyak pilihan dan seharusnya bijak merebut peluang itu. Dengan kelayakan dan kelulusan dimiliki, mereka sebenarnya tiada masalah besar untuk merancang masa depan.

“Nasihat saya, tidak perlu bersedih andai tak dapat masuk UA atau ke luar negara, tapi perlu bijak membuat perancangan,” katanya.

Sementara itu, bagi pelajar kategori ketiga iaitu golongan tidak cemerlang, beliau me­nyarankan mereka menjurus kepada aliran kemahiran.

Katanya, banyak latihan kemahiran ditawarkan sama ada daripada agensi kerajaan mahupun kolej swasta bagi mengelak mereka tercicir daripada pembelajaran.

Antara kursus boleh diikuti ialah di Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara, Institut Kemahiran MARA serta banyak lagi institusi awam dan swasta yang mendapat pengiktirafan Kelayakan Kemahiran Malaysia, Kementerian Sumber Manusia.

“Institusi kemahiran ini banyak membantu melahirkan tenaga kerja kemahiran yang laris di pasaran.

“Dalam era ekonomi global kini yang sangat fokus kepada keupayaan sumber tenaga manusia berkemahiran, pelajar kategori ini perlu segera merebut peluang.

“Tanpa keputusan akademik yang baik tidak bermakna mereka tak boleh berjaya dalam hidup atau memperoleh peluang pekerjaan. Yang penting kemahuan,” katanya yang turut menyarankan agar pilihan terus memasuki pekerjaan perlu menjadi pilihan terakhir kepada golongan itu.

“Ada yang mengambil keputusan untuk terus bekerja kerana merasakan mereka sudah tiada peluang untuk melanjutkan pelajaran.

“Tidak salah memasuki alam pekerjaan tapi kalau boleh lengkapkan dulu diri dengan asas kemahiran walaupun dengan hanya mengikuti kursus jangka pendek.

“Dalam dunia pekerjaan yang sangat kompetitif hari ini, sedikit kelebihan boleh menyumbang kepada kejayaan,” katanya.

Dr Noor Syamilah menasihatkan pelajar agar berbincang dengan ibu bapa, kaunselor atau mendapatkan seberapa banyak maklumat sebelum membuat keputusan.

“Dapatkan sebanyak mungkin maklumat pilihan berdasarkan minat, kebolehan, kesesuaian dan keupayaan.

“Buatlah pilihan yang bijak dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 10:55 AM