Md Aris diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara empat bulan. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
Md Aris diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara empat bulan. FOTO Mohd Hanafis Abdul Haris
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Pereka grafik dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah tangan kanannya, Disember tahun lalu.

Hakim Azuar Che Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Aris Husin, 40, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Md Aris didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 95 Lebuhraya PLUS arah Selatan, di sini, kira-kira 11.20 pagi, 20 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno.

Terdahulu, menerusi kenyataan yang dibacakan peguam Md Aris, Mohd Hezri Shaharil ketika prosiding berlangsung, tertuduh merafak sembah memohon keampunan daripada Sultan Ibrahim.

"Saya memohon ampun dan maaf kerana perbuatan saya melukakan hati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat Johor secara keseluruhannya. Saya benar-benar insaf di atas keterlanjuran ini dan dengan rendah hati memohon ampun kepada Tuanku dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 1:29 PM