Amy yakin konsert ulang Search 35 Tahun berjalan lancar. FOTO STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Amy yakin konsert ulang Search 35 Tahun berjalan lancar. FOTO STR/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Oleh Michelle Gun


Kuala Lumpur: “Kami yakin konsert ini akan mendapat sambutan. Ia bukan saja meraikan ulang tahun ke-35 Search tetapi juga hari bersejarah negara,” kata penyanyi Search, Amy mengenai tarikh baru Konsert Search 35 Tahun pada 30 Ogos depan.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 58, mengumumkan tarikh baru konsert berkenaan di sebuah stesen radio swasta popular, hari ini.

Semalam, kumpulan rock legenda itu mengumumkan konsert yang bakal berlangsung pada 9 April ini di Stadium Merdeka, di sini, ditunda atas faktor keselamatan berikutan persekitaran stadium berkenaan rancak dengan projek pembinaan.

Walaupun timbul desas-desus mengatakan konsert terbabit bakal terjejas kerana diadakan pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-59, Amy optimis ia akan berjalan lancar.

“Kami tahu akan ada banyak persembahan percuma pada malam itu nanti, tetapi kami yakin konsert Search tetap akan mendapat sambutan,” katanya.

Amy berkata, Konsert Search 35 Tahun akan menguji mereka kerana ia acara paling besar dianjurkan Search.

Sementara itu, peminat yang sudah membeli tiket masih boleh menggunakan tiket berkenaan untuk konsert pada 30 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 9:34 PM