AIFA (kiri) dan Aira mara final Kejohanan Skuasy MSSM 2016.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kedah membuktikan kejaguhan apabila lima pemain mereka menempah tiket ke final Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2016 di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David, Bukit Dumbar di sini, hari ini.

Dominasi Kedah bermula dengan kategori Perempuan Bawah 12 apabila Aira Azman menewaskan pemain Melaka Thanusa Uthrian 11-4, 11-5, 11-3 di suku akhir serta menewaskan Negeri Sembilan J Yassmita di separuh akhir, 11-3, 11-2, 11-5.

Pada perlawanan akhir pagi ini, Aira akan bertemu seorang lagi pemain Kedah K Sehveetra yang cemerlang menundukkan Nur Maisara Azlan Shah dari Negeri Sembilan 11-5, 11-4, 11-5 di separuh akhir serta pemain tuan rumah June Loke 11-9, 11-7, 11-5 pada suku akhir.

Kecemerlangan Aira diikuti kakaknya, Aifa yang melangkah ke final kategori Perempuan Bawah 15 tahun selepas menewaskan M Remashree dari Selangor pada suku akhir 11-3, 11-2, 11-5 dan Amirah Rusydina dari Kuala Lumpur 11-4, 11-4, 11-9 pada separuh akhir.

Aifa akan bertemu pemain Sabah Jessica Keng di final.

Aifa yang juga pelajar Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar berkata, dia sudah bersedia menentang Jessica dan menyifatkan peluang mereka seimbang.

“Sebelum ini, saya pernah menentang Jessica empat kali. Saya menang tiga kali dan kalah sekali, jadi peluang kami seimbang,” katanya.

Puteri skuasy Kedah itu pernah mengharumkan nama negara apabila merangkul Terbuka Remaja British 2016 bawah 15 tahun selepas menumpaskan Marina Stefanoni dari Amerika Syarikat 11-9, 8-11, 11-6, 11-4 pada perlawanan akhir di Sheffield, England, Januari lalu.

Kejayaan itu pencapaian kedua terbaiknya selepas menjuarai Terbuka Remaja British tahun lalu dan berazam muncul juara Terbuka Remaja Pulau Pinang pada Jun dan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Julai .

Bagi kategori Lelaki Bawah 18 pemain Kedah Ong Sai Hung dan akan bertemu Darren Rahul dari Negeri Sembilan di final.

Kategori Perempuan Bawah 18 pula menyaksikan pemain Kedah Nur Aliah Izzati Anis bakal menentang pemain Sarawak, Ma Si Yi.

Pemain Kuala Lumpur, Danial Nurhaqiem dan Muhammad Harris Abdullah akan berentap sesama sendiri bagi final final kategori Lelaki Bawah 15.

Bagi kategori Lelaki Bawah 12 pemain Selangor Jaochim Chuah akan bertemu C Ameeshenraj dari Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 10:20 AM