Putrajaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia merupakan tindakan tepat dalam usaha membendung tindakan pihak tertentu yang ketika ini secara terbuka menggunakan kebebasan bersuara secara salah.

“Saya amat mengalu-alukannya dalam keadaan sekarang apabila kebebasan untuk bercakap, kebebasan bersuara dan kebebasan menulis pelbagai perkara telah banyak disalahgunakan.

.”..dan Akta Hasutan adalah undang-undang yang amat sesuai untuk menangani keadaan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Najib, yang juga Presiden UMNO bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dengan cadangan pindaan untuk memasukkan dua peruntukan khas bagi menguatkan dan memperkukuh akta itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini, hari ini.

Khalid berkata, akta yang diguna pakai sejak sekian lama itu memiliki kekuatan tersendiri dan ia akan menjadi bertambah baik jika terus diperkemas dan ditambah baik.

Ditanya apakah penambahbaikan yang diharapkan oleh PDRM, beliau berkata, antara yang perlu diberi perhatian ialah dalam aspek pendakwaan, khususnya bagi memudahkan polis mengemukakan atau membuat pertuduhan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Selain mengekalkan Akta Hasutan 1948, cadangan dua peruntukan khas yang akan dimasukkan ialah bagi melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, PDRM turut berkongsi kebimbangan kerajaan berhubung penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan dan kumpulan pengganas serta ancaman yang mungkin dicetuskan sekiranya mereka kembali ke tanah air.

Beliau berkata, bagaimanapun cadangan kerajaan untuk membentangkan satu undang-undang baru bagi membanteras dan menangani gejala itu pasti membantu dalam memperkukuh lagi perancangan sedia ada PDRM untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Kita ada perancangan, insya-Allah, jangan risau tetapi kita memerlukan undang-undang untuk memberi polis lebih kuasa bertindak ke atas mereka.

“Kita sedang menghadapi aktiviti terorisme, jadi kita perlu ada satu undang-undang khusus untuk berdepan dengan kemungkinan yang akan digunakan oleh mereka untuk mengancam negara,” kata Khalid.

Beliau berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Kanun Keseksaan juga perlu diperkasakan kerana kedua-duanya lebih menjurus kepada pembanterasan jenayah atau aktiviti jenayah.

Cadangan untuk membentangkan undang-undang baru itu dibuat Perdana Menteri ketika membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS)’ di Dewan Rakyat, semalam, antara lain bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil dalam mengekang ancaman dan penularan aktiviti pengganasan seperti kumpulan militan IS di negara ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 3:24 PM