KETUA Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon teater Ombak Rindu.
Oleh Ramlah Zainal


Filem Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel terlaris karya Fauziah Ashari pernah mencetuskan fenomena di persada perfileman tanah air pada penghujung 2011.

Watak Hariz dan Izzah lakonan Aaron Aziz dan Maya Karin turut meninggalkan kesan mendalam pada penonton hingga hari ini.

Selepas empat tahun, naskhah hebat Ombak Rindu bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur bermula 22 April hingga 1 Mei ini sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Teater arahan A Aris Kadir dan diterbitkan CTRA Production ini menampilkan gandingan Keith Foo dan Uqasha Senrose selaku teraju utamanya.

Turut berlakon ialah Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Izzue Islam, Zaidi Omar, Aris Lufias dan Ameer Forteen. Skrip teater ini dihasilkan Rosminah Mohd Tahir.

Secara peribadi, Aris, 42, mengakui dia menerima tawaran mengarahkan teater Ombak Rindu kerana ingin mencabar diri sekali gus membuktikan kemampuannya.

“Saya sendiri adalah peminat filem Ombak Rindu dan tidak ingin melepaskan peluang keemasan mengarahkan teater ini. Saya berharap, ia akan menjadi platform untuk saya melangkah lebih jauh dalam bidang pengarahan teater tempatan.

“Saya juga bersedia menerima kritikan positif mahupun negatif daripada penonton nanti. Saya juga bersedia jika orang membandingkan saya dengan pengarah filem Ombak Rindu, Osman Ali kerana percaya setiap pengarah ada sentuhan tersendiri. Pada masa sama, filem dan teater juga adalah dua medium seni yang berbeza,” katanya.

Aris berkata, teater Ombak Rindu juga berbeza daripada filem arahan Osman itu.

“Saya juga difahamkan penerbit teater ini akan meng­gabungkan cerita daripada novel Ombak Rindu 2 dan 3. Manakala, filem Ombak Rindu pula diadaptasi dari novel yang pertama.

“Pastinya, teater Ombak Rindu lebih banyak konflik berbanding filem. Malah, watak Izzah juga sangat berat kerana ia akan menampilkan dua watak yang berbeza di mana seorang lagi akan muncul dengan nama Suri,” katanya.

Jika nak diikutkan, Aris juga tidak asing dalam dunia pengarahan teater kerana pernah mengarah beberapa pementasan sebelum ini iaitu Teater Bangsawan Laila Majnun, Muzikal Kanak-Kanak Sinbad dan teater Zombie La La La sebelum ini.

Selain memiliki pengalaman luas sebagai koreografer, dia juga pernah menimba pengalaman sebagai penolong pengarah dalam beberapa pementasan iaitu Diari Wanita, Nyonya dan Bawang Putih Bawang Merah sebelum ini.

Cabaran mengarah pelakon popular

Selaku pengarah, Aris mengakui bukan mudah untuk mengarahkan barisan pelakon popular dan yang sudah ada nama dalam pementasan Ombak Rindu itu. Namun, dia lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif.

“Maklumlah, pihak kami perlu menyusun jadual latihan dengan teratur kerana tidak mahu menjejaskan kelancaran sesi latihan teater ini nanti. Sudah namanya pelakon popular, pastinya agenda seni mereka juga padat dengan komitmen drama dan telefilem dan pihak produksi terpaksa mengikut jadual mereka. Selain itu, saya juga perlu memberi bimbi­ngan pada pelakon yang tiada asas dalam bidang teater.

“Setakat ini, semua pelakon sudah mendapat skrip dan memahami watak masing-masing terlebih dulu pada sesi pembacaan skrip yang berlangsung sebelum ini.

“Ada juga segelintir pelakon tidak bersungguh-sungguh ketika latihan dan ia menyusahkan pengarah untuk membentuk lakonan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai sesi latihan pula, kata Aris, barisan pelakon dan kru akan memulakan sesi latihan untuk pementasan itu bermula 28 Mac ini. “Cabaran lain dihadapi ialah teater ini bukan berbentuk muzikal dan hanya ada empat lagu saja dimuatkan dalam pementasan ini. Apapun, saya berusaha memberikan sentuhan terbaik pada pementasan ini nanti,” katanya.

Maklumat mengenai tiket sila layari airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 11:52 AM