GANDINGAN M Nasir, Ramli Sarip dan Usop Kopratasa mendendangkan Lagu Zaman cukup mempesonakan.
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


“Susah saya nak nyanyi lagu itu. Nasir (Datuk M Nasir) punya kerjalah ni.”

Ini antara kata-kata penyanyi legenda irama tradisional Melayu klasik, Tan Sri SM Salim, 88, yang paling diingati penulis ketika menemubualnya pada 2003 lalu.

Ketika itu SM Salim dalam proses rakaman album Sekarang Dah Jadi yang menampilkan lagu duetnya bersama penyanyi popular tanah air antaranya Amy Search, Datuk Sheila Majid, Datuk Ramli Sarip, Datuk Siti Nurhaliza, Zainal Abidin, Rosiah Chik dan Datuk M Nasir.

Dalam temu bual yang dijalankan di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, SM Salim ‘membebel’ kononnya lagu berjudul Seloka Cak Kun Cak ciptaan M Nasir itu sukar dinyanyikan.

Kata beliau, lagu ciptaan M Nasir itu mempunyai tempo laju dan sukar untuk beliau nyanyikan. Namun legenda tetap legenda, biarpun dalam keadaan tidak sihat dan berkerusi roda, SM Salim berjaya merakamkan lagu itu dengan cukup baik.

‘Bebelan’ SM Salim itu sebenarnya lebih dilihat seperti daripada seorang bapa kepada anak ataupun daripada seorang penyanyi senior kepada junior.

Sememangnya, SM Salim yang kita kenali seorang yang kelakar. Samalah seperti nyanyiannya dalam lagu seperti Apa Dah Jadi yang mempunyai lirik jenaka, tetapi sarat dengan mesej berguna.

Apa yang pasti, semangat SM Salim dalam memperjuangkan irama tradisional Melayu klasik tidak perlu dipertikaikan.

Ketika industri muzik tempatan melalui proses evolusi daripada pop, rock, rap, dangdut, irama Nusantara hinggalah hip hop, SM Salim tetap setia dengan irama sedemikian.

Sehubungan itu, bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam industri muzik tanah air, Yayasan Artis 1Malaysia (YAiM) menganjurkan Konsert Tribute To Living Legend - Tan Sri SM Salim yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jumaat dan Sabtu lalu.

Konsert berkenaan menampilkan gandingan pe–nyanyi lama dan baru seperti Datuk A Rahman Hassan, Datuk Andre Goh, Datuk Yusni Hamid, Datuk M Nasir, Datuk Ramli Sarip, Noraniza Idris, Zur Eda, Syafinaz, Raihan, Usop Kopratasa, Ezad Lazim, Zahid AF, Asmidar dan Pengerusi YA1M, Datuk Irwan Syah Abdullah atau DJ Dave.

Hasil kutipan konsert berkenaan akan disalurkan kepada SM Salim, manakala sebahagian lagi untuk me–ngisi Tabung YA1M.

Apa yang menarik, walaupun tanpa ‘suara’ SM Salim, konsert pada malam itu hidup dengan persembahan menarik dan tersendiri setiap penyanyi terbabit.

Gandingan M Nasir, Ramli dan Usop menyampaikan Lagu Zaman cukup meruntun jiwa. Kelebihan vokal masing-masing yang sememangnya hebat dan digandingkan dengan lenggok asal lagu terbabit yang syahdu membuatkan persembahan mereka mendapat tepukan gemuruh penonton.

Begitu juga dengan persembahan penyanyi generasi baru seperti Ezad Lazim, Zahid AF dan Asmidar yang langsung tidak kekok membawakan lagu yang bukan daripada era mereka.

Asmidar umpamanya memberikan persembahan cukup bertenaga ketika berduet dengan Ramli dalam lagu Selasihku Sayang.

Antara lagu hebat nyanyian SM Salim yang didendangkan pada malam itu ialah Pasir Roboh, Sri Siantan, Bunga Tanjung, Tak Seindah Wajah dan Selamat Tinggal Bungaku.

Dalam konsert ini, mereka diiringi orkestra DBKL di bawah pimpinan Mohamad Adzan Mohd Fadzil dan dikendalikan pengacara popular Faizal Ismail atau FBI.

Konsert ini turut dirakam dan akan ditayangkan di saluran RTM pada 1 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 12:06 PM