KALI pertama kembali ke Muar selepas buat kemunculan semula tahun lalu.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Selepas 15 tahun tidak tampil membuat persembahan di Muar, Johor, penyanyi Amelina tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya di Dataran Tanjung Emas, Muar sempena Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt jam 9 malam, Sabtu ini.

Ratu dangdut itu berkata, sejak membuat kemunculan semula tahun lalu, inilah kali pertama dia akan kembali ke Muar.

“Memang lama tidak ke sana. Jadi, apabila mendapat tawaran ini, perasaan saya bercampur baur. Apa yang pasti, saya gembira,” katanya kepada RAP.

Bercerita mengenai pemilihan lagu dan persediaan, dia sendiri keliru kerana banyak lagu popularnya diminta peminat.

“Dalam perancangan saya, ada beberapa lagu yang mungkin akan saya persembahkan. Antaranya ialah Semakin Rindu Semakin Asyik, Rindu dan Asyik.

“Apa-apa pun semuanya bergantung kepada penonton juga. Saya akan pilih lagu yang sesuai dengan kehendak mereka,” katanya.

Bagi Amelina, dia tidak pernah berkira setiap kali membuat persembahan.

“Saya kalau sudah seronok di pentas, kadang-kadang ‘lupa diri’. Kalau penganjur meminta dua lagu, saya akan teruskan sehingga tiga lagu kalau sambutan peminat menggalakkan,” katanya ketawa.

Amelina berkata, selain penduduk sekitar Muar, dia juga mengharapkan peminatnya dari seluruh Johor dan Melaka turut hadir ke konsert berkenaan.

Terbaru, penyanyi yang muncul dengan single baru Cinta Harus Seksi itu turut bergelar duta produk kecantikan terkemuka.

“Alhamdulillah, saya anggap ini sebagai satu lagi rezeki buat saya dan anak-anak,” katanya.

Menurut Amelina, pelbagai program sudah dirancang dan dimuatkan dalam jadual kerjanya dan menjadi sebahagian tanggungjawabnya sebagai duta.

“Jadual saya memang padat sehingga Mei ini. Pelbagai aktiviti akan melibatkan saya contohnya promosi, siri jelajah dan sebagainya,” katanya.

Selain Amelina, barisan penyanyi yang akan turut membuat persembahan di konsert berkenaan ialah kumpulan Forteen, Indah Ruhaila, Sandra dan Asfan.

Selain konsert, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di lokasi terbabit bermula jam 4 petang.

Turut diadakan ialah sesi bertemu peminat bersama artis di pasar raya TF Value Mart, Muar, Jumaat ini bermula jam 8 malam.

Siri Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja seperti Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unileverfoodsolutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 12:13 PM