Penagih yang ditahan dalam Ops Sarang dan Lejang di kawasan bukit di Felda Sri Bandi, Chukai, petang tadi.


Chukai: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menahan 28 penagih berusia antara 40 hingga 60 tahun dalam serbuan Ops Sarang dan Lejang di kawasan bukit di Felda Sri Bandi, di sini, petang tadi.

Operasi bagi membanteras ‘port’ penagihan dadah itu dilakukan dengan pembabitan anggota dan pegawai seramai 17 orang termasuk lima daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diketuai ketua bahagian berkenaan Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah.

Sebanyak sembilan tiub berisi heroin dan satu paket syabu seberat satu gram yang semuanya dianggarkan bernilai RM800 dirampas dalam operasi bermula 4 pagi dan berakhir 3 petang tadi.

Selain dadah, motosikal jenis Honda Dream EX5 yang dilaporkan hilang di Gebeng, Kuantan dirampas daripada seorang penagih yang meninggalkan kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri dalam kawasan hutan sebaik menyedari kehadiran polis di kawasan itu.

Semua penagih terbabit yang tinggal di kawasan Sri Bandi dan Ibok ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan/Pemulihan) 1983.

Selain itu, lima kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah dan dua kes membabitkan penggunaan dokumen pengenalan diri milik orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 8:22 PM