DAPAT tawaran projek baru selepas Zombie La La La tetapi terpaksa tolak kerana terbabit penggambaran drama.
Oleh Ramlah Zainal


Ramai yang memuji lakonannya sebagai MeMangNak dalam pementasan teater komedi Zombie La La La yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Februari lalu. Ternyata, lakonan mantapnya dalam pementasan itu bukan saja menghiburkan peminat teater sekali gus menjadi sebutan ramai.

Namun, pelakon meningkat naik, Janna Nick, 21, mengakui tidak hanyut dibuai pujian peminat. Baginya, masih banyak ilmu yang ingin dipelajarinya untuk memantapkan prestasi lakonan sedia ada.

“Saya agak puas hati dengan lakonan dalam teater itu tetapi percaya boleh buat dengan lebih baik pada masa akan datang. Terus terang, berlakon teater bukan satu tugas yang mudah kerana ia membabitkan keserasian dengan barisan pelakon lain yang terbabit dalam pementasan itu.

“Selepas teater Zombie La La La, saya juga dapat tawaran berlakon dalam projek teater baru tetapi terpaksa menolaknya kerana terbabit dengan penggambaran drama. Maklumlah, pementasan teater membabitkan tempoh latihan yang panjang dan saya tidak mahu ia bertindih dengan komitmen kerja sedia ada,” katanya.

Ditanya ada pihak yang mendakwa wataknya agak lucah dalam teater Zombie La La La, Janna yang menempa nama dalam drama bersiri Syurga Nur juga menafikannya.

“Saya tidak melihat watak MeMangNak itu lucah kerana sekadar menyampikan sejarah hidup karakter yang juga mangsa rogol. Saya juga menggunakan bahasa yang berkias dan mendalam supaya ia tidak difahami golongan kanak-kanak.

“Pada pandangan saya, cerita komedi yang disampaikan juga hanya difahami golongan dewasa kerana bahasa digunakan tidak disampaikan secara terus kepada penonton,” katanya.

Selain projek teater, pemilik nama sebenar, Nurul Jannah Muner ini juga tidak menang tangan menerima tawaran berlakon sampai hari ini.

“Terbaru, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 16 episod Suami Tanpa Cinta bergandingan dengan Syukri Yahya untuk saluran Astro Ria terbitan Pena Creative Pictures Sdn Bhd.

“Sebagai pelakon, saya memang sukakan cabaran untuk mempelbagaikan karakter sedia ada. Apa yang menarik, watak saya dalam drama bersiri ini ada kelainan daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini. Watak dalam drama ini juga agak berat kerana karakter saya sombong, berlagak dan hanya mementingkan kerja serta bisnes diceburi,” katanya.

Bagaimanapun, kata Janna, dia juga tidak selektif dari segi pemilihan watak ditawarkan.

“Sebagai pelakon baru inilah masanya untuk saya mencuba semua watak sekali gus mempelbagaikan cabang seni. Apa yang penting, tawaran berlakon yang datang tidak bertindih dengan projek lain sekali gus tidak menyusahkan pelakon lain.

“Selain drama bersiri Suami Tanpa Cinta, saya juga terbabit dalam beberapa projek telemovie untuk raya nanti,” katanya.

Tidak bersaing dengan Ayda Jebat

Bagaikan sudah menjadi ‘trend’ dalam bidang hiburan apabila pelakon turut mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian. Selain Ayda Jebat, Janna juga turut berjinak-jinak dalam bidang nyanyian yang juga cabang seni yang turut diminatinya. Malah, dia turut mempertaruhkan lagunya berjudul Mungkin Saja yang juga sentuhan Kunci Demak dan sudah dilancarkan pada Januari lalu.

Namun, ada segelintir pihak yang mendakwa dirinya juga ingin bersaing dengan Ayda dalam bidang nyanyian.

“Tidak terlintas di hati saya untuk bersaing dengan Ayda kerana saya bukannya bermula sebagai penyanyi pun. Sedangkan Ayda pernah memasuki program realiti popular Akademi Fantasia sebelum menceburi bidang lakonan.

“Ayda juga bermula dari platform nyanyian dan dia juga boleh bermain piano. Saya pula sebaliknya masih dalam proses pembelajaran untuk menjadi penyanyi.

“Saya percaya dengan rezeki yang ditentukan Allah dan menyanyi untuk memenuhi permintaan peminat setia,” katanya.

Mengenai pembikinan single kedua dan album penuh pula, kata Ayda, semuanya masih dalam perancangan.

“Saya tidak suka menghebohkan cerita yang belum pasti. Jika semuanya berjalan lancar dan lagu baru sudah siap serta diputarkan di corong stesen radio tempatan, barulah saya bersedia ingin bercerita lebih-lebih kepada pihak media dan peminat.

“Pada masa sama, saya juga hanya memenuhi undangan persembahan tetapi pastikan ia tidak bertindih dengan aktiviti lakonan. Jika ada kelapangan, barulah saya menerima undangan persembahan kerana tidak mahu menyusahkan penganjur persembahan nanti,” katanya.

Antara lakonannya sebelum ini ialah drama Kau, Aku, Kita dan Anakku Diva untuk slot Dahlia TV3. Manakala, filem pertama lakonannya berjudul Kimchi Untuk Awak

Selain itu, Janna turut dilantik sebagai duta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2016 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 dan 18 Mac nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:16 AM