PEMAIN Arsenal menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Barcelona.

Barcelona: Pengurus Arsenal Arsene Wenger mengakui pasukannya berdepan misi mustahil apabila berkunjung ke Barcelona awal pagi esok dalam usaha mengubah defisit 0-2 pada perlawanan pertama untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh enam tahun.

Seperti mana sering berlaku pada pertengahan kedua sepanjang 20 tahun Wenger berada di kelab itu, Arsenal akan berkunjung ke Camp Nou dengan keputusan yang boleh dijangka.

Mereka mempunyai peluang untuk mendahului lawan di Emirates tiga minggu lalu sebelum trio penyerang hebat Barca iaitu Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez merobek pertahanan mereka seperti pernah dilakukan terhadap pasukan lain.

Messi, Neymar dan Suarez mengumpul 103 jaringan musim ini manakala seluruh skuad Arsenal hanya mengumpul 71 gol.

Pengkritik Wenger menyalahkan sikap pengurus itu yang tidak mampu atau enggan berbelanja besar untuk mendapatkan penyerang bertaraf dunia diperlukan bagi mengubah nasib Arsenal daripada sekadar pencabar kepada pemenang.

Malah, beliau pernah cuba mendapatkan Suarez ketika pemain Uruguay itu masih bersama Liverpool pada 2013.

Arsenal bagaimanapun mendapat faedah daripada perpindahan Suarez ke Barcelona apabila berjaya membeli Alexis Sanchez ketika Barca menjual pemain Chile itu untuk menyeimbangkan pasukan yang sudah memiliki pemain sehebat Messi dan Neymar.

Namun, dari aspek jaringan gol, Suarez sudah mengatasi Messi musim ini dengan 42 gol dalam 41 aksi manakala pemain Argentina itu menjaringkan 36 gol dalam 36 perlawanan.

Menghalang seorang pemain saja sudah menjadi masalah, apatah lagi menghadang tiga pemain Amerika Selatan itu ternyata menjadi misi sukar buat pasukan lain sejak 18 bulan lalu.

Arsenal sepatutnya mendapatkan Suarez namun apabila kedua-dua pasukan itu bertemu awal pagi esok, mereka pastinya menderita kerana keputusan perlawanan bagaikan sudah diketahui. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 7:52 AM