X
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Sedar atau tidak kita sebenarnya sudah di penghujung 2014. Seperti tahun sebelumnya, pasti ramai antara kita yang tersenyum gembira mendengar perkhabaran bonus dan insentif daripada majikan masing-masing.

Ada yang sudah membuka buku kira-kira dan merangka pelan berbelanja untuk diri sendiri serta keluarga.

Namun, tak kurang juga yang sekadar berangan membeli itu dan ini tanpa memikirkan bajet sebenar yang terpaksa dikorbankan nanti.

Bagi pasangan yang mempunyai anak bersekolah, kesedaran untuk berjimat biasanya sudah terpahat didada.

Hutang tertunggak, perbelanjaan persekolahan anak, buku, yuran dan kelengkapan berkaitan semestinya menjadi fokus utama sebelum memuaskan kehendak diri.

Keadaan ini nyata berlainan jika dibandingkan dengan golongan bujang yang berpeluang menikmati bonus tahunan mereka sepenuhnya.

Kelompok ini kerap nampak mewah ketika bonus menjelma, namun mudah pula menjadi fakir segera.

Sepatutnya masa muda dan bebas tanggunganlah dimanfaatkan orang bujang dengan sebaiknya.

Golongan ini perlu diberi kesedaran bahawa yang seharusnya dicanang bukanlah kemampuan membelanjakan wang bonus, tetapi kebolehan menjelaskan hutang tertunggak sebelum surat saman tiba!

Justeru, jelaskan hutang mengikut keperluan paling kritikal, elak beban kewa­ngan dan simpanlah demi masa depan.

Sekiranya syarikat tempat anda bekerja membayar bonus, pastikan wang itu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Kesedaran membayar hutang adalah penting. Bayangkan anda mungkin akan menerima bonus tiga bulan gaji, namun dalam masa sama anda belum mencapai kebebasan kewangan sepenuhnya.

Jadi, andai anda berada dalam situasi itu, langkah berikut perlu diikuti supaya anda tidak lagi terjerat dengan kancah hutang yang merimaskan.

1. Semak semula matlamat kewangan anda.-Jika bonus yang diterima terlalu banyak, tidak salah untuk anda berbelanja sakan atau menukar kereta baru misalnya.

Tetapi jika ia sekadar bonus dua atau tiga bulan gaji, ada baiknya anda menggunakan wang itu untuk menampung kekurangan dalam matlamat kewangan anda.

Mungkin wang ini boleh digunakan untuk dijadikan wang pendahuluan membeli rumah. Apa yang terbaik adalah lihat keperluan terdekat anda ketika ini dan juga pertimbangkan masa depan.

Kemungkinan besar keperluan terdekat anda adalah untuk melunaskan hutang yang membebankan atau membaiki rumah.

Jika ada wang lebih, mungkin anda boleh laburkan dalam unit amanah untuk keuntungan jangka panjang.

Apapun, utamakanlah hutang yang membebankan seperti kad kredit, pinjaman peribadi atau melangsaikan apa cukai yang masih tertunggak.

2. Simpan untuk kegunaan pada waktu kecemasaan.-Apabila soal hutang sudah selesai, ada eloknya anda mempertimbangkan cadangan untuk membentuk satu dana kecemasan.

Paling baik jumlah wang dalam dana ini adalah bersamaan dengan jumlah gaji anda selama sekurang-kurangnya sebulan atau sehingga enam bulan.

Wang ini semestinya untuk waktu kecemasan. Umpamanya anda kehilangan kerja secara tiba-tiba, jatuh sakit atau ditimpa musibah tak terjangka.

Simpanlah wang ini dalam akaun simpanan supaya mudah dikeluarkan pada masa diperlukan.

3. Beri ganjaran kepada diri sendiri dan keluarga.- Jika anda sudah sampai ke tahap mampu memperuntukkan dana untuk tujuan kecemasan, tidak salah jika menggunakan wang bonus itu tujuan melancong.

Sekurang-kurangnya anda mampu menikmati hasil titik peluh sendiri selepas penat bekerja.

4. Laburkan baki wang anda bonus yang masih ada.-Jika sekarang ini anda bebas daripada hutang dan sudah ada dana kecemasan, jangan fikir bahawa anda mencapai kebebasan kewangan sepenuhnya.

Perkara di atas hanyalah mengutamakan apa yang sepatutnya diutamakan terlebih dulu. Lihat berapa banyak wang bonus yang masih ada.

Jika jumlahnya dalam keadaan yang selesa, laburkan untuk membeli saham atau unit amanah. Pastikan anda memilih produk pelaburan yang memberikan perlindungan modal.

Anda juga boleh membeli insurans nyawa untuk memastikan kedudukan keluarga anda terpelihara.

Jika sesuatu terjadi kepada anda, sekurang-kurangnya kebajikan keluarga tetap terpelihara menerusi liputan perlindungan insurans yang dibeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:00 AM