ANGGOTA penyiasat memeriksa keadaan bas yang menjadi sasaran letupan bom itu.
ANGGOTA penyiasat memeriksa keadaan bas yang menjadi sasaran letupan bom itu.

Peshawar (Pakistan): Sekurang-kurangnya 17 maut dan puluhan lagi cedera semalam apabila bom meletup dalam sebuah bas di sini.

Setakat ini belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu yang berlaku ketika bas berkenaan membawa penumpang, majoritinya kakitangan kerajaan, di kawasan beli-belah popular, Saddar.

Jurucakap Hospital Lady Reading, Jamil Shah berkata: “Jumlah kematian yang dicatatkan ialah 17 orang.

“Seramai 47 mangsa cedera dan dibawa ke hospital ini. Ramai sudah dibenarkan pulang.

“Namun, lima antara 19 yang dimasukkan ke hospital masih dalam keadaan kritikal.”

Pegawai pemusnah bom berkata, bahan letupan itu diletakkan berhampiran tangki minyak bas dan dipercayai diletupkan dari jarak jauh.

“Bom itu dimuatkan dalam galas bebola dan diletakkan di bawah barisan keenam tempat duduk dari belakang,” kata pegawai polis, Abbas Majeed.

Mangsa yang terselamat, Faqir Gul, 32, berkata, bas itu seolah-olah ‘melompat’ selepas meletup.

“Api dan asap memenuhi bahagian belakang bas sementara orang ramai menjerit. Saya sendiri cedera ringan di kepala dan badan,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:51 AM