GAMBAR hiasan.

Jakarta: Kerajaan Indonesia akan memberi bantuan kepada syarikat kereta sewa yang menggunakan aplikasi Internet seperti Uber dan GrabCar untuk memohon permit bagi membolehkan mereka beroperasi.

Ia usaha menamatkan perbalahan yang berlarutan sejak setahun lalu mengenai kesahan aplikasi itu.

Menteri Komunikasi dan Penerangan, Rudiantara mengumumkan keputusan berkenaan selepas bermesyuarat dengan wakil syarikat terbabit serta dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

“Ada undang-undang untuk syarikat berkenaan patuhi. Tetapi orang awam juga mahukan perkhidmatan pengangkutan awam yang selesa dan mampu untuk mereka gunakan,” kata Rudiantara.

Mesyuarat berkenaan diadakan selepas tunjuk perasaan besar-besaran diadakan oleh pemandu teksi dan pengendali pengangkutan awam di Jakarta untuk mendesak supaya Uber dan Grabcar yang mereka dakwa gagal mematuhi undang-undang trafik 2009, diharamkan.

Wakil Uber dan Grabcar berbincang dengan menteri berkenaan, Pengarah Suruhanjaya Pengangkutan Darat Kementerian Pengangkutan dan Ketua Perkhidmatan Pengangkutan Jakarta.

Semua pihak bersetuju menyelesaikan isu itu dalam rangka sistem yang ada sekarang dan pengubahsuaian peraturan selari dengan perkembangan teknologi.

Permit akan dikeluarkan selepas penubuhan agensi perniagaan oleh Kementerian Koperasi dan Syarikat Kecil dan Sederhana.

Agensi itu akan bertanggungjawab terhadap syarikat berdasarkan laman web itu, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat terbabit. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 11:36 AM