POLIS  cuba menyuraikan sekumpulan wanita yang menunjuk perasaan di depan Istana Negara, semalam.
POLIS cuba menyuraikan sekumpulan wanita yang menunjuk perasaan di depan Istana Negara, semalam.

Jakarta: Sekumpulan penduduk miskin bandar yang menyokong kuat Presiden Joko Widodo (Jokowi) ketika pilihan raya presiden berikrar untuk mengadakan tunjuk perasaan di depan Istana Negara setiap hari.

Ia bertujuan menuntut Jokowi memenuhi janji yang dibuatnya dalam satu kontrak politik dengan mereka.

Kumpulan terbabit mengadakan dua tunjuk perasaan pada Isnin dan Selasa dan mendakwa pemimpin Indonesia itu masih belum menunaikan beberapa janji, termasuk menempatkan semula penduduk miskin dari tanah milik kerajaan, bukan mengusir mereka.

Sambil memakai baju hujan plastik biru dengan kata-kata ‘Ingat janji anda,’ mereka bergilir-gilir mengadakan tunjuk perasaan itu.

Antara yang menyertai tunjuk perasaan itu ialah pemandu beca bermotor serta penduduk yang diusir dari tanah milik kerajaan.

Menurut mereka, beberapa surat sudah dihantar, memohon untuk berbincang dengan Jokowi. Bagaimanapun, sehingga ini, masih belum ada jawapan.

Dalam kontrak politik yang ditandatangani pada 2012 dan 2014, Jokowi menyatakan dia tidak akan merampas beca atau mengusir penduduk dengan menggunakan kekerasan atau memindahkan mereka jauh dari bandar.

Siti Komariah, antara tujuh mangsa yang diusir dari kawasan setingggan di Jakarta berkata, dia sebelum ini menyokong kuat pasukan kempen Jokowi pada pilihan raya gabenor Jakarta dan presiden 2012 dan 2014.

Malah, dia dan rakannya juga bekerja dan memungut wang untuk membiayai kempen Jokowi.

“Ingat janji kamu, Pak Jokowi. Anda kata kami tidak akan diusir,” katanya.

Sehari sebelum itu, sembilan pemandu beca yang mempersoalkan komitmen presiden itu untuk memenuhi janji politiknya ditangkap kerana berhimpun di depan Istana Negara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 11:37 AM