Nabihah Kamal


Kajang: Tiga botol molotov koktel bersama tujuh peluru dijumpai di kawasan kediaman seorang Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat, di Bandar Baru Bangi, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa yang ingin keluar ke pejabat terkejut selepas menjumpai serpihan botol kaca di kawasan tempat letak keretanya.

Timbalan Ketua Polis Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, tiga botol molotov koktel dibaling ke laman rumah berkenaan.

"Turut ditemui tujuh butir peluru bersaiz 9mm yang diletakkan di dalam plastik di kawasan kejadian.

"Bagaimanapun, mangsa dilaporkan selamat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 1:28 PM