BARISAN pelatih KBPT bakal diasah menjadi pemain bola sepak profesional.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Nerus: Terengganu melangkah setapak lagi dalam sukan bola sepak apabila Kelab Bola Sepak Profesional Terengganu (KBPT) ditubuhkan bermula kelmarin yang berpusat di Kampung Batin, Seberang Takir dekat sini.

Malah kelab bola sepak yang pertama berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan dan kini mempunyai 50 pelatih, akan melakukan kerjasama dengan kelab luar negara termasuk Thailand.

Presiden KBPT Raimi Jamil berkata, matlamat kelab itu adalah melahirkan pemain bola sepak profesional dan membantu pemain yang ingin menjadikan sukan itu sebagai kerjaya.

“Kelab KBPT yang pertama di negara ini berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan turut dianggotai bekas jurulatih Terengganu iaitu Abdullah Muhamad dan Abdul Rahman Ibrahim yang bertindak sebagai pengarah kejurulatihan dan teknikal.

“Selain itu bekas pemain Terengganu Hasnan Ahmad dilantik sebagai ketua jurulatih dengan dibantu beberapa lagi bekas pemain negeri ketika era 80-an,” kata Raimi yang juga bekas penjaga gol nombor satu negara dan Terengganu.

Mengulas lanjut, Raimi berkata, pihaknya mengharapkan pemain berbakat berusia antara 16 hingga 23 tahun yang berminat menyertai kelab itu boleh menjalani ujian pemilihan di padang Kampung Batin bermula jam 4 petang.

“Kelab ini mengalukan-alukan penyertaan pemain yang berminat kerana KBPT menyasarkan seramai 100 pelatih saja tapi pemain mestilah anak jati Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 8:56 AM