DIANA dan Zamarul kini lebih tenang.
DIANA dan Zamarul kini lebih tenang.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Episod duka pasangan selebriti Diana Rafar, 34 dan Zamarul Hisyam, 45 berakhir apabila kembali bersatu sebagai suami isteri pada Mei tahun lalu.

Bagi Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar, pengalaman pahit itu mengajarnya banyak perkara dan mematangkan dirinya sebagai wanita.

“Selepas apa yang berlaku, baru saya sedar jangan terlalu fokus kepada sesuatu perkara sehingga memudaratkan diri. Paling penting jangan ambil keputusan ikut emosi semata-mata.

“Sejujurnya, dahulu saya sebegitu. Kini, baik saya mahupun suami, kami lebih tenang. Kami tidak lagi bersikap terlalu mengejar sesuatu perkara, sebaliknya mengikut saja aturan ditetapkan,” katanya.

Menurut Diana lagi, selepas kembali bersatu banyak perubahan yang berlaku dalam hidupnya dan Zamarul.

“Kalau dulu bergaduh biarpun perkara kecil, boleh ambil masa berhari-hari untuk bertegur semula, tetapi sekarang, sekejap saja.

“Malah, saya lebih percayakan suami berbanding dulu terutama jika dia ada penggambaran. Tidak ada lagi istilah suami perlu melaporkan aktiviti hariannya.

“Cukup sekadar saya tahu dia selamat sampai ke tempat kerja. Bukan apa, cara ini lebih menenangkan kedua-dua pihak,” katanya.

Sambung Diana, Zamarul juga mengambil pendekatan sama dan tidak bersikap prejudis.

Pelakon drama Nenek Kebayan ini turut mengakui dia dan suami semakin ‘sporting’ dan lebih romantik dalam segala hal.

“Selepas kami kembali hidup bersama, kehidupan dilalui seperti mula-mula bercinta dulu. Segala-galanya jadi indah.

“Apabila difikir semula, rugi rasanya mempersia-siakan segala nikmat itu. Namun, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Jika tidak, tentu saja saya dan suami tidak akan berubah ke arah lebih baik,” katanya.

Tambah zuriat

Dikurniakan seorang anak lelaki, Kashfi Haiqal yang kini berusia enam tahun, Diana berharap segera menimang cahaya mata kedua.

“Dulu saya selalu bertangguh soal ini. Sekarang saya perlu reda apabila Allah belum memberikan rezeki tatkala saya betul-betul inginkannya.

“Saya rindu detik ada anak kecil. Pada usia Kash sekarang memang sesuai untuk saya dan suami menambah anak. Apatah lagi, umur kami juga semakin meningkat,” katanya.

Sambung Diana, dia dan suami tidak berhenti berusaha merealisasikan impian itu. Malah Kashfi sentiasa bertanya perkara sama.

Beralih perihal karier, Diana bakal kembali berlakon selepas tiga tahun berehat.

“Insya-Allah saya akan menjayakan sebuah telefilem terbitan Astro. Penggambaran akan dimulakan minggu depan.

“Memandangkan suami pun baru habis penggambaran drama Masam Masam Manis, jadi kami berbincang supaya saya dapat berlakon semula,” katanya yang masih dalam rangka mempromosikan single Tak Ku Mampu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 9:36 AM