DENGAR sahaja bunyi enjin motosikal, kucing terbiar tahu Uncle Gunamani datang membawa makanan.
KUCING terbiar diberi makan Uncle Gunamani dua hingga tiga kali sehari pada waktu pagi dan petang.
UNCLE Gunamani memberi makan kepada kucing terbiar sebagai rutin hariannya.
Oleh Mary Victoria Dass dan Nor Hanisah Kamaruzaman


Pada usia 76 tahun, kudrat N Gunamani sudah tidak sekuat mana. Malah, kesihatannya juga makin merosot.

Terbaru, dia terpaksa berada di rumah selama lebih sebulan pada awal Disember lalu akibat jangkitan kuman di kaki.

Jika orang seusianya cuma mahu berehat dan melayani cucu di rumah kerana sakit, dia yang lebih dikenali sebagai Uncle Gunamani tidak dapat tidur lena.

Hatinya cuma memikirkan nasib lebih 1,000 ekor kucing terbiar di sekitar Masai dan Pasir Gudang dekat Johor Bahru yang dia beri makan setiap hari. Selain kucing, dia juga memberi makan kepada anjing liar dan burung.

“Ketika terperap di rumah, hati saya tak tenang. Tak dapat tidur lena kerana memikirkan kucing, burung dan anjing yang mungkin kelaparan kerana menanti kehadiran saya membawa makanan,” katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana kini mampu meneruskan aktiviti hariannya itu seperti biasa selepas pulih 80 peratus daripada penyakit itu.

“Saya masih bergantung kepada ubat tapi tetap mahu meneruskan rutin ini kerana ia memberi kepuasan luar biasa.

“Saya mula memberi makan kepada haiwan terbiar sejak 25 tahun lalu selepas bermimpi dikunjungi seorang lelaki tua berjubah putih.

“Dia yang menggelar saya ‘anak’ meminta saya beramal dengan memberi makanan kepada binatang dan berkata ia kewajipan yang dipertanggung-jawabkan kepada saya,” katanya.

Gunamani berkata, dengan memberi makanan kepada binatang berkenaan, dia berpeluang beramal dan menambah keberkatan keluarganya.

“Saya sudah anggap kucing, anjing dan burung sebagai ahli keluarga. Tak pernah anggap amalan ini sebagai membebankan atau menyusahkan.

“Mereka juga makhluk Tuhan seperti manusia dan kita mempunyai kelebihan serta keistimewaan perlu berbuat baik kepada makhluk lain.

“Saya terkilan apabila ada yang sanggup mendera binatang kerana tidak selesa dengan kehadiran mereka. Ia sikap yang buruk yang sepatutnya dijauhi,” katanya.

Setiap hari, Gunamani menunggang motosikal sejauh lebih 40 kilometer bagi memberi makanan kepada haiwan terbiar di beberapa kawasan.

Menurutnya, dia membawa lebih 10 kilogram makanan termasuk makanan basah seperti ayam yang sudah dicencang, ikan serta dedak burung untuk diberi kepada haiwan berkenaan.

Katanya, perjalanannya bermula dari kediamannya di Taman Pasir Putih, kawasan bandar Masai, Taman Rinting, Kota Masai dan Ulu Tiram di Pasir Gudang.

“Kucing-kucing ini bagaikan sudah tahu saya dalam perjalanan ke sesuatu lokasi kerana mereka akan berkumpul di tempat biasa. Dengar sahaja bunyi motosikal saya, ada yang sanggup mengejar dari belakang hingga saya menghentikan kenderaan.

“Saya memberi makanan kepada haiwan terbabit dua hingga tiga kali sehari pada waktu pagi dan petang. Perbelanjaannya pula tidak kurang RM2,000 sebulan.

“Saya menggunakan pendapatan sebagai pembekal sayur kecil-kecilan bagi menampung kos membeli makanan haiwan berkenaan. Isteri, S Mariayi (73 tahun) mahupun anak-anak tidak pernah menghalang, sebaliknya berbangga dengan apa yang saya lakukan.

“Sebelum keluar rumah, kebiasaannya mereka menasihati saya supaya berhati-hati menunggang motosikal berikutan rutin harian saya ini memakan masa dua hingga tiga jam,” katanya.

Gunamani yang juga Pengerusi MyPPP Taman Scientex berkata, biarpun ramai penduduk memberi sokongan, ada segelintir kurang menyenanginya.

Menurutnya, dia pernah dibaling batu dan dimaki kerana didakwa menjadi punca pembiakan haiwan terbiar di kawasan perumahan selain mencemari atau mengotorkan lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, dia tetap meneruskan amalannya itu.

“Saya bukan mencuri atau tipu orang. Tak perlu malu pun. Malah, sejak melakukan amalan ini, ia memberi keberkatan kepada keluarga termasuk semua anak saya berjaya dalam kehidupan.

“Saya hanya mengharapkan kesihatan yang baik, boleh bekerja dan mencari duit untuk meneruskan rutin ini hing–ga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, seorang pencinta haiwan, Rosnita Puteh, 38, mengagumi keprihatinan Gunamani terhadap haiwan liar.

Menurutnya, dia kerap melihat warga emas berkenaan memberikan makanan kepada kucing di sekitar Jalan Masai Lama.

“Saya pelik melihat kehadirannya di kawasan itu. Mulanya menyangka dia menjual sesuatu, namun saya terharu apabila melihat Uncle Gunamani memberi makanan kepada kucing terbiar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 10:52 AM