FOTO Kamal Majid


Jeli: Tiga bersaudara yang lemas ketika mandi di Sungai Lubuk Nibong, Kuala Balah, di sini, petang semalam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Balah, selepas solat Jumaat.

Jenazah Nor Raiha Zahara Mohd Amran,14, Nor Azwa Aznieey Mohd Azmi, 10, dan Mohd Firdaus Mohd Azmin, 7, akan disemadikan bersebelahan satu sama lain.

Menceritakan kejadian semalam, Bapa Nor Azwa Aznieey, Azmi Omar, 38, berkata, sebelum insiden itu kira-kira 5.30 petang, anaknya ada mengajak dia mandi sungai.

"Namun saya nasihatkan dia supaya solat dan mengaji al-Quran terlebih dahulu sebelum ke sungai.

"Sebaik saya selesai solat Asar, ada penduduk ke rumah di Kampung Kuala Balah memaklumkan kejadian lemas dan segera bergegas ke sana.

"Ketika saya dan isteri Siti Zawani Mohd Nor, 36, tiba, terdapat mayat anak saudara di tebing. Tak fikir panjang lagi, saya segera menyelam dan menemui mayat anak di dasar," katanya.

Azmi berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu kerana sudah ditakdirkan Illahi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2016 @ 11:59 AM